LEGENDA. Itulah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan penyerang prolifik Manchester United, Wayne Rooney.  

Minggu lalu, Rooney meletakkan namanya sebaris dengan legenda United yang lain apabila meledak gol peribadi ke-250 ketika membantu The Red Devils melakar keputusan seri 1-1 bertemu Stoke City.

Jumlah jaringan tersebut sekaligus memintas dan memecahkan rekod Sir Bobby Charlton (249 gol) yang dicatat sejak 1973.

Menariknya, Rooney hanya memerlukan 546 perlawanan untuk melangkaui rekod tersebut berbanding Charlton yang beraksi 758 perlawanan.

Lebih manis, kejayaan ini turut mendapat pujian dan pengiktirafan daripada legenda United itu.

Menurut Charlton, Rooney telah membuktikan dirinya sebagai pemain terbaik sepanjang penglibatannya bersama United sejak 2004.

"Saya pernah menerima pengiktirafan ini dan kini Rooney berjaya mencipta rekod jaringan baharu untuk pasukan.

"Saya berpendapat, United memang mempunyai ramai penyerang terhebat, tetapi Rooney telah membuktikan dirinya adalah terbaik daripada yang terbaik.

"Sejujurnya, saya sedikit kecewa apabila rekod saya berjaya dipadamkan, tetapi pada masa yang sama, saya berbangga dengan pencapaian Rooney.

"Namanya memang layak tertulis di dalam buku sejarah kelab ini," katanya.

Detik bersejarah

TANGGAL 21 Januari pastinya menjadi detik bersejarah buat penyerang berusia 31 tahun itu apabila berjaya meledak gol ke-250 peribadinya ketika Manchester United berkunjung ke Stadium Bet365 bertemu Stoke City dalam perlawanan ke-22 Liga Perdana Inggeris.

Menariknya, Rooney bukan sahaja mencatat nama selaku penjaring terbanyak United sepanjang zaman, tetapi dia juga layak diangkat menjadi wira kerana gol sepakan percumanya di minit-minit akhir perlawanan berjaya mengelakkan pasukannya diaibkan Stoke.

Rekod ini dicipta Rooney selepas dimasukkan selaku pemain gantian di babak kedua.

Kemasukannya berjaya memberi impak buat United yang kebuntuan mencari gol penyamaan selepas ketinggalan 0-1 apabila Juan Mata menjaringkan gol sendiri pada minit ke-19.

Kerja keras pasukannya di babak kedua nyata berhasil apabila United mendapat sepakan percuma di minit-minit akhir perlawanan selepas Joe Allen mengasari Marcus Rashford.

Rooney bertanggungjawab mengambil sepakan percuma tersebut dan berjaya mengelirukan pihak lawan apabila memilih untuk menjaringkan gol biarpun bola dilihat seakan-akan ingin dihantar ke dalam kotak penalti.

Jaringan itu turut meletak nama Rooney selaku pemain paling banyak menjaringkan gol di tempat lawan dengan 88 gol dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Keputusan ini juga memastikan United berjaya meneruskan legasi 17 perlawanan tanpa kalah        musim ini.

Karier awal

KARIER Rooney bukanlah bermula di Manchester United sebaliknya pemain yang sering disamakan dengan watak Shrek ini bermula bersama Everton pada tahun 2000.

Pada awalnya dia bermain untuk pasukan bawah 19 tahun Everton dan mula menarik perhatian pada  2002 apabila mencetak lapan gol daripada lapan penampilan di FA Youth Cup.

Debutnya bersama pasukan utama Everton bermula pada Ogos 2002. Rooney hanya memerlukan tempoh dua bulan untuk membuktikan kehebatannya bersama Everton apabila muncul sebagai penjaring termuda di dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Namun, jodoh Rooney bersama Everton tidak kekal lama, tahun 2004 Rooney mengambil keputusan untuk berhijrah ke Manchester United dengan yuran perpindahan sekitar 48 juta pound sterling.

Pada 2004, ketika Rooney berusia 18 tahun dan membuat debut untuk United dalam perlawanan Liga Juara-Juara, dia berjaya meledak hatrik ketika pasukannya membenam Fenerbahce.

Nama Rooney turut terpahat sebagai pemain termuda bermain dalam 200 perlawanan Liga Perdana Inggeris. Dia juga berjaya membantu United muncul sebagai juara Liga Juara-Juara pada 2008.

Musim berikutnya, menyaksikan Rooney diangkat sebagai pemain ke-20 di dalam sejarah menjaringkan lebih daripada 100 gol di Liga Perdana Inggeris.

Secara ironinya, sepanjang pembabitan kariernya di dalam bola sepak, Rooney menjadi antara penjaring yang konsisten.

Dia telah menjaringkan 16 gol pada musim 2005-06, 14 gol pada musim 2007-08, 12 gol pada 2008-09.

Pencapaian terbaiknya ialah pada musim 2009-10 apabila meledak 33 gol daripada 26 perlawanan sekali gus mengangkat namanya sebagai Pemain Terbaik Inggeris pada tahun itu.

Jatuh bangun

DI SEBALIK kejayaan yang begitu mengagumkan, Rooney tidak terlepas daripada mengalami kejatuhan.

Pada 2010, Rooney pernah dikecam teruk oleh segelintir penyokong The Red Devils apabila Sir Alex Ferguson mendedahkan pemain itu hampir meninggalkan kelab itu.

Hubungannya dengan penyokong tegar United menjadi lebih berantakan apabila suaranya begitu lantang ketika mempersoalkan cita-cita kelabnya itu.

Situasi itu menyebabkan ramai penyokong meminta Rooney dijual kepada kelab lain.

Namun, pengurus United ketika itu, Sir Alex Ferguson tetap dengan pendiriannya untuk mengekalkan Rooney dan pengaruhnya telah membuatkan Rooney menandatangani kontrak baharu selama lima tahun bersama United.

Musim 2014-15 dan 2015-16, nama Rooney kembali menjadi kritikan ramai pihak. Prestasinya terus merudum sehinggakan ramai pengkritik menganggapnya sebagai beban kepada pasukan.

Konflik dengan taktikal dan pengurus baharu menjadikan prestasinya semakin hambar dan namanya terus menjadi kecaman pelbagai pihak.

Namun begitu, selepas 13 musim bersama United, Rooney berjaya membuktikan kesetiaannya dan berpegang teguh kepada konsep tiada apa yang mustahil dalam hidup.

Tahun ini, namanya tercatat sebagai legenda penjaring terbanyak kelab itu dengan 250 jaringan, sekali gus menutup mulut ramai pihak yang sering melabel karier Rooney bersama United sudah lama berakhir.

Syabas Rooney!

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
  • BERMATLAMATKAN pengurusan sebuah kelab bola sepak telus, profesional dan mesra penyokong, tujuh peminat bola sepak telag bersatu hati menubuhkan kelab Bola Sepak Shah Alam Antlers.
  • LALUAN sukar itu gambaran bakal ditempuhi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mac nanti.
  • LIGA Bola Sepak Wanita (LBRW) yang akan bermula 3 Februari ini, bakal menyediakan medan pendedahan dan pengalaman perlawanan sebenar yang lebih meluas kepada skuad bawah 14 dan 16 tahun negara di Sekolah Sukan Malaysia Sabah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.