THE Red Giants hanya selangkah lagi untuk mencapai misi 34 seterusnya mengekalkan Piala Malaysia sekiranya berjaya menundukkan Kedah dalam saingan final Piala Malaysia, esok.

Beraksi di Stadium Shah Alam yang merupakan stadium keramat memberi kelebihan kepada pasukan kendalian K Gunalan itu bagi menghadapi tentangan sengit skuad Lang Merah.

Namun, apa yang boleh dikatakan ialah kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dan peluang sama rata untuk mendakap piala pada edisi ke-90 tahun ini.

UNDERDOG

WALAUPUN memegang status juara bertahan, Selangor lebih selesa dianggap sebagai underdog dalam pertemuan final kali ini.

Menurut Gunalan, dia sedar bakal berdepan tugas sukar berdepan Kedah yang berada pada prestasi terbaik mereka pada ketika ini.

Malah, jika dianalisa mengikut kedudukan Liga Super, skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang berjaya menamatkan saingan Liga Super di posisi lebih baik di tangga ketiga berbanding Red Giants sekadar di kedudukan kelima liga.

“Saya berharap pemain akan turun ke padang dengan penuh semangat dan bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan.

“Saya lebih selesa kami dianggap pasukan bukan pilihan kerana saya tidak mahu ia mengganggu tumpuan pemain-pemain saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di sini, semalam.

KAJI TAKTIKAL

GUNALAN turut mendedahkan sudah melakukan kajian terhadap taktikal dan strategi pemain Kedah dalam usaha memastikan Piala Malaysia terus kekal menjadi milik Selangor.

“Kami sudah mengkaji corak permainan Kedah menerusi rakaman video dan kami akan memperbaiki setiap kelemahan yang ada menjelang aksi final itu nanti,” katanya.

Namun, yang paling diberi tumpuan dalam sesi latihan adalah ketajaman penyudah yang cuba diasah bagi merobek gawang Kedah.

Kata Gunalan, ketajaman penyudah menjadi aspek penting ditekankan kerana serangan Selangor acap kali kurang menjadi dalam kebanyakan perlawanan musim ini.

“Pada sesi latihan sebelum ini, saya meminta pemain-pemain saya untuk mengasah ketajaman penyudahan mereka kerana perkara itu dilihat masih menjadi halangan buat kami setakat ini,” katanya.

IDAM TAMBAH KOLEKSI

BERTINDAK sebagai pemangku jurulatih Selangor bukanlah tugas mudah buat Gunalan dan kejayaan Selangor melangkah ke final hasil bimbingannya perlu dipuji.

Dia yang menggantikan Zainal Abidin Hassan ketika pertengahan liga menggalas cabaran sukar mengembalikan prestasi Selangor di landasan yang betul.

Tiada lain yang dimahukan Gunalan selain kemenangan seterusnya menambah koleksi piala untuk Selangor.

“Saya yakin pemain akan memberikan aksi terbaik dalam perlawanan akhir nanti dan seterusnya menambah koleksi trofi Piala Malaysia untuk pasukan dan penyokong Selangor,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
  • BERMATLAMATKAN pengurusan sebuah kelab bola sepak telus, profesional dan mesra penyokong, tujuh peminat bola sepak telag bersatu hati menubuhkan kelab Bola Sepak Shah Alam Antlers.
  • LALUAN sukar itu gambaran bakal ditempuhi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mac nanti.
  • LIGA Bola Sepak Wanita (LBRW) yang akan bermula 3 Februari ini, bakal menyediakan medan pendedahan dan pengalaman perlawanan sebenar yang lebih meluas kepada skuad bawah 14 dan 16 tahun negara di Sekolah Sukan Malaysia Sabah.