PEMAIN PKNS FC diingatkan untuk tidak menjadikan kelab itu sebagai batu loncatan untuk berhijrah ke pasukan lain.

Amaran tegas itu dinyatakan pengendali The Red Ants, E Elavarasan menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2017 yang membuka tirainya tidak lama lagi.

Menurut Elavarasan, untuk musim 2017, dia menuntut komitmen penuh daripada setiap pemain sambil berharap tiada lagi kontroversi yang mampu menjejaskan tumpuan mereka.

Musim lalu, PKNS FC berdepan masalah apabila pemain import dari Argentina, Gaby Guerra cuba menuntut pelepasan ketika masih terikat dengan kontrak, semata-mata mahu menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagaimanapun isu berkenaan berjaya diselesaikan dan Guerra beraksi dengan PKNS sehingga ke penghujung musim.

 

TAK BERULANG

DALAM pada itu, Elavarasan menaruh harapan tinggi situasi sama tidak berulang kali ini.

Ini kerana penyerang importnya, Patrick Ronaldinho Wleh pernah berbuat demikian ketika dipinjamkan ke Selangor.

“Saya harapkan komitmen penuh daripada Patrick kali ini, tiada lagi promosikan diri dan gunakan PKNS sebagai batu loncatan untuk mencari tawaran lebih baik. Keperluan pasukan perlu diutamakan melebihi segalanya.

“Dia pernah bermain di bawah saya dan PKNS sebelum ini, jadi saya rasa dia tahu apa yang saya mahu darinya, dan dia juga sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan cara permainan kami.

“Ditambah dengan pengalaman bermain satu musim penuh dalam Liga Super bersama Selangor, saya berharap kehadiran Patrick memberi manfaat kepada PKNS pada musim pertama kami kembali ke Liga Super,” katanya.

Untuk musim 2017, Patrick antara tiga import yang ditawarkan kontrak baharu oleh PKNS selain Gonzalo Soto dari Argentina dan Matias Jadue dari Palestin, manakala Guerra pula membuat keputusan menyertai JDT.

 

JANJI SAFEE KEPADA SEMUT MERAH 

PENYERANG baharu PKNS FC, Safee Sali tekad mempamer aksi konsisten bagi membantu skuad itu memburu lebih banyak kejayaan dalam kempen Liga-M 2017.

Kata bekas pemenang kasut emas Piala AFF 2010 itu, dia tidak akan mensia-siakan kepercayaan The Red Ants sambil menegaskan sudah bersedia membantu naib juara Liga Perdana musim lalu itu.

“Saya berjanji akan beri yang terbaik untuk pasukan ini. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan PKNS yang masih percaya terhadap keupayaan saya walaupun usia kini sudah mencecah 33 tahun.

“Saya akan gunakan segala pengalaman yang ada ketika bersama skuad negara dan JDT untuk memastikan kelab muncul antara pesaing terbaik musim ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.