SEMASA artikel ini ditulis, peminat bola sepak negara khususnya penyokong Selangor dan Kedah sedang menunggu dengan penuh debaran perlawanan akhir Piala Malaysia 2016. Tahniah penulis ucapkan kepada kedua-dua pasukan yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir pertandingan piala berprestij itu.

Edisi kali ini sangat istimewa bagi kedua-dua pasukan memandangkan pertembungan ini merupakan ulangan kepada edisi tahun lalu. Selangor sudah tentu ingin mempertahankan kejuaraan yang dikecapi tahun lalu, manakala Kedah pasti ingin membalas dendam di atas kekalahan 0 -2 dalam perlawanan akhir musim lalu.

Persaingan sukan merupakan situasi yang cenderung untuk mencetuskan pelbagai bentuk emosi bagi semua yang terlibat termasuk jurulatih, pengurusan dan juga penyokong. Emosi yang dialami pula cenderung untuk mempengaruhi tidak tanduk dan tingkah laku individu.   

Seperti yang pernah diulas dalam ruangan terdahulu, kebimbangan adalah emosi biasa dialami mana-mana individu dalam konteks persaingan dan pertandingan sukan. Ia dicetuskan persepsi terhadap persaingan yang dihadapi dan menyebabkan tindak balas emosi dan fisiologi badan.

Reaksi emosi dialami individu adalah sangat subjektif. Ia bergantung kepada persepsi individu sejauh mana pertandingan yang dihadapi dilihat sebagai satu bentuk ancaman terhadap kestabilan dalaman diri mereka. Jika perasaan terancam dialami tidak dapat diatasi dan ditangani oleh individu, ia akan mencetuskan perasaan bimbang.

Umum mengetahui bahawa kebimbangan berlebihan boleh menjejaskan prestasi seseorang pemain. Ia mampu menyebabkan pemain yang berbakat gagal untuk menunjukkan bakat dan keupayaan sebenar mereka. Oleh demikian, kepentingan untuk menangani emosi ini adalah jelas kepada pemain bagi memastikan prestasi permainan tidak terjejas.

Namun, kebimbangan bukan satu-satunya emosi yang boleh mempengaruhi prestasi pemain. Pertembungan ulangan pentas akhir seperti ini boleh mencetuskan pelbagai bentuk emosi kepada semua terlibat sama ada di dalam ataupun di luar padang.

Kepentingan perlawanan bagi kedua-dua belah pasukan adalah sangat besar dan harapan tinggi untuk mencapai matlamat ditetapkan. Bagi Kedah, sudah tentu mereka ingin mengelak kekalahan di pentas akhir kepada pasukan yang sama. Sebaliknya, Selangor sudah tentu ingin mempertahankan kejuaraan yang dimenangi.

Harapan yang tidak tercapai cenderung untuk mencetuskan emosi negatif seperti kecewa dan marah. Bergantung kepada kemampuan individu untuk menanganinya, emosi seperti ini boleh mencetuskan pelbagai tindakan liar dan luar kawalan.

Malah, dalam mesej kepada Kedah, Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menasihati semua pihak terutama penyokong agar tidak bertindak liar dan keterlaluan yang boleh menjejaskan prestasi dan tumpuan pemain.

Nasihat ini harus diambil bukan sahaja penyokong Kedah, malah semua pihak terlibat di dalam pentas akhir Piala Malaysia ini termasuk pemain, jurulatih, pengurusan dan penyokong kedua belah pihak.

KAWAL EMOSI MARAH

UMUMNYA, emosi marah dicetuskan oleh rasa kecewa disebabkan halangan, sama ada dalam bentuk nyata atau persepsi, dari mendapatkan atau membuat sesuatu yang sangat–sangat dikehendaki. Ia juga disebabkan paksaan untuk melakukan sesuatu di luar kerelaan, diambil kesempatan, dihina dan diejek, diganggu dan dilayan dengan buruk. Ia selalunya ditujukan kepada individu yang dilihat dengan sengaja atau dengan kecuaiannya menyebabkan kerugian peribadi.

Perasaan marah sering dianggap sebagai emosi sekunder iaitu sebagai perantara bagi perasaan tidak senang dan tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara. Sebagai emosi sekunder, bagaimana ia diluahkan, sama ada dalam bentuk yang sihat atau tidak sihat, bergantung kepada persepsi dan pilihan individu yang terbabit dalam menilai kejadian yang dialami. Sengaja menyebabkan kecederaan pihak lawan adalah pendekatan yang harus diketepikan.

Perasaan marah yang keterlaluan sering mendorong individu untuk bertindak di luar batas norma masyarakat. Bagi kebanyakan individu, perasaan marah boleh ditangani dengan baik. Bagaimanapun, perasaan marah yang tidak dapat ditangani dengan baik boleh memberi kesan terhadap diri dan pasukan.

Emosi yang dialami oleh seseorang juga cenderung untuk mempengaruhi emosi orang lain di persekitarannya terutama bagi mereka yang berpengaruh seperti ketua pasukan atau pemain senior.

Ada kajian saintifik menunjukkan bahawa emosi seseorang berubah mengikut individu yang mempamerkan emosi paling kuat walaupun tanpa komunikasi lisan. Di dalam sesebuah kumpulan, emosi seseorang cenderung untuk mengikut emosi kumpulan, terutama emosi ketuanya.

Tumpuan terhadap perlawanan akhir ini jelas daripada persiapan pasukan dan ganjaran yang bakal diterima oleh pemenang. Selain itu, semangat penyokong dalam mendapatkan tiket perlawanan akhir jelas menunjukkan sokongan yang tinggi terhadap pasukan masing-masing.

Di sebalik sokongan dan persiapan tersebut, kepentingan untuk mengawal emosi adalah sangat jelas bagi semua yang terlibat sama ada pemain dan penyokong. Bagi pemain, membiarkan emosi negatif tanpa dikawal akan menjejaskan prestasi diri dan juga pasukan.

Sebaliknya, tindakan liar dan luar kawalan di dalam padang mampu mempengaruhi emosi dan tindakan penyokong yang boleh mencetuskan keadaan yang lebih buruk.

Oleh demikian, adalah penting untuk semua pihak untuk mengawal emosi masing-masing dan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi semasa dan juga selepas perlawanan.

DR HAIRUL ANUAR HASHIM, Penulis adalah Pensyarah Psikologi Sukan dan Senaman Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.