MENGAKHIRI saingan Liga Malaysia (Liga-M) di tangga keempat Liga Super boleh dianggap satu penamat terbaik buat Kelantan sekali pun gagal merangkul sebarang kejayaan pada musim ini.

Dengan hanya mara ke peringkat suku akhir kempen Piala FA dan Piala Malaysia, jelas sekali berada dalam kelompok empat pasukan di belakang juara liga, Johor Darul Ta’zim, Felda United dan Kedah menjadi penawar buat skuad pantai timur itu.

Pada awal musim ini, pasukan bekas juara tiga piala 2012 itu mendapat publisiti meluas daripada media tempatan berikutan mendapat tajaan bernilai jutaan ringgit daripada Vida Beauty selaku penaja utama Kelantan.

Namun begitu, ia sekadar indah khabar dari rupa apabila skuad bimbingan K Devan, bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak awal musim sehingga memaksa jurulatih kelahiran Negeri Sembilan itu, memilih meninggalkan pasukan berkenaan, pertengahan Mei lalu.

Tidak sampai 72 jam selepas Devan meninggalkan Kota Bharu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa pantas mengumumkan pelantikan Velizar Popov selaku pengemudi baharu pasukan itu.

Sentuhan magis jurulatih dari Bulgaria, berjaya membantu Kelantan menamatkan perjuangan dalam liga domestik kelas pertama itu di kedudukan keempat selain membawa skuad penuh tempang itu ke suku akhir Piala Malaysia sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jodoh sudah berakhir

Bagaimanapun, jodoh Popov bersama Kelantan hanya mampu bertahan lima bulan dengan tugasan terakhirnya memastikan pasukannya meraih satu mata berharga ketika seri 2-2 dengan Perak pada aksi penutup tirai liga di laman sendiri, 22 September lalu.

Jurulatih berusia 40 tahun itu, memilih tidak menyambung kontrak susulan kegagalan majikannya, Kafa memberi jaminan berhubung aspek kewangan sehingga menyukarkannya melakukan perancangan terbaik untuk persiapan pasukannya menghadapi musim baharu.

Keputusan bekas pengendali skuad kebangsaan Maldives itu, sememangnya sudah diduga selepas Kafa dilihat tidak berkemampuan memenuhi beberapa tuntutannya termasuk soal gaji, selain mengekalkan barisan pemain impiannya pada musim depan.  

Hanya berpisah sementara

Bola sepak Kelantan terus dikejutkan dengan berita penaja utama mereka, Vida Beauty yang memohon penangguhan kontrak penajaan yang sepatutnya berakhir hujung tahun depan.

Perkara tersebut diumumkan Annuar, setelah beliau mengadakan perbincangan bersama pengasas syarikat kosmetik berkenaan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih popular dengan panggilan Dr Vida, baru-baru ini.

Perpisahan tersebut bagaimanapun hanya bersifat sementara dengan syarikat yang terkenal dengan produk Qu Puteh itu dijangka kembali menaja pasukan berkenan untuk musim 2018.

Keputusan tersebut bererti tiada lagi tajaan dalam bentuk kewangan disalurkan kepada skuad senior Kelantan dan segala obligasi yang terkandung di dalam kontrak penajaan selama dua tahun itu juga tidak akan dikuatkuasakan, pada musim depan.

Rentetan situasi terbaru itu, Kafa yang dipimpin Annuar tidak ada pilihan selain perlu bekerja lebih keras mencari penaja baharu kerana mereka memerlukan tidak kurang RM16 juta bagi membiayai perbelanjaan skuad The Red Warriors.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.