MAJLIS Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam – Urus setia Belia dan Sukan (MPKB BRI-UBeS) FC, mungkin sudah boleh menekan butang panik gara-gara aksi hambar mereka dalam kempen Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim ini.

Pendatang baharu liga divisyen ketiga itu kini menghuni dasar Kumpulan B apabila hanya mampu mengutip satu mata setelah mencatatkan keputusan seri sekali dan empat kekalahan dalam saingan setakat ini.

Tindakan drastik harus dilakukan segera pihak pengurusan MPKB BRI-UBeS FC dalam masa terdekat sekiranya mahu memastikan pasukan itu kembali bersaing untuk berada dalam kelompok empat terbaik.

Titik kebangkitan

Pertemuan menentang Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok seharusnya menjadi titik kebangkitan setelah pasukan itu dikecewakan dengan kekalahan tipis kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), minggu lalu.

Justeru, MPKB BRI-UBeS FC tidak mempunyai pilihan, selain wajib menewaskan wakil Melaka memandangkan hanya itu cara yang ada untuk mengutip mata penuh kerana selepas itu mereka akan bertemu Hanelang FC sebelum pusingan pertama berakhir.

Apa keadaan sekali pun, skuad kendalian Mahadi Yusoff itu perlu memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dan tidak boleh lagi mensia-siakan peluang berkenaan sebagaimana dalam aksi sebelum ini.

Nasib tak baik

Berdasarkan pemerhatian, boleh disimpulkan kelab yang berpangkalan di Kota Bharu itu, sebenarnya tidak bernasib baik apabila gagal meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam lima perlawanan lalu.

Membuka tirai dengan kekalahan 0-2 di tangan Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF) FC, MPKB BRI-UBeS FC kemudian tewas 1-2 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), disusuli kecundang 0-1 (Kadazan Dusun Murut Malaysia FC), seri tanpa jaringan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC dan terakhir tunduk 0-1 kepada PBMM.

Pasukan berkenaan hanya tewas tipis dalam tiga perlawanan itu sedangkan mereka beraksi begitu baik dan seharusnya meraih mata sekali gus memperbaiki kedudukan dalam carta kumpulan.

 Jentera serangan tumpul

Hanya berupaya menjaringkan satu gol dan bolos enam gol mencerminkan tahap sebenar jentera penyudah MPKB BRI-UBeS FC yang dilihat begitu tumpul untuk meletakkan bola ke dalam jaring dalam lima perlawanan itu.

Barisan serangan yang diterajui Rahmat Che Hassim, Tuan Mohamad Shahrizal Tuan Soh dan Mohd Farhan Yaakub perlu melipat gandakan usaha untuk mencetak jaringan buat pasukannya.

Statistik menunjukkan MPKB BRI-UBeS FC melepaskan 1.2 gol dalam lima perlawanan dan benteng pertahanan yang ditunjangi pemain berpengalaman seperti Mohd Sani Nawi dan Somchai Sinuai perlu lebih ampuh sebelum mengharungi pusingan kedua selepas ini.