SIAPA sangka, negeri yang sering diejek-ejek tidak memiliki pasukan bola sepak sendiri secara tiba-tiba mengalami peningkatan mendadak sejak dua tahun lalu.

Melaka United, satu nama yang dahulunya suram kini berubah wajah apabila baru-baru ini mengesahkan kejuaraan Liga Perdana dengan berbaki dua perlawanan.

Tambah menarik lagi, mereka hanya perlukan semusim sahaja di Liga Perdana untuk menempah tempat ke saingan Liga Super musim hadapan setelah dipromosikan daripada Liga FAM tahun lalu.

Pujian wajar diberikan kepada seluruh tenaga kerja Melaka United daripada pihak pengurusan, jurulatih hinggalah barisan pemain yang berusaha mengembalikan maruah bola sepak negeri Melaka dari terus menjadi bahan ejekan.

REALISASI MATLAMAT

SETELAH dinaikkan daripada Liga FAM ke Liga Perdana, pihak pengurusan Melaka United nyata tidak mahu lagi menoleh ke belakang.

Sejumlah RM11 juta telah diperuntukkan oleh pihak pengurusan untuk memperkasakan pasukan itu dengan membawa masuk pemain tempatan dan import berkualiti untuk Melaka United.

Ternyata pertaruhan membawa masuk nama-nama seperti Ilija Spasojevic, Labinot Harbuzi, See Kok Luen, Khair Jones dan R Surendran di awal musim terbalas apabila pasukan ini tidak tewas dalam sembilan perlawanan pertama mereka.

Namun, rekod ini sedikit tercalar apabila mereka tewas tipis 0-1 di tangan Perlis di laman lawan ketika beraksi di dalam cuaca panas di waktu petang.

Nyata kekalahan pertama itu tidak merobek semangat Sang Kancil. Melaka United kembali bangkit dengan mencatat sembilan kemenangan berturut-turut yang mana, rekod kemenangan berterusan ini baru sahaja dipatahkan JDT II dengan gol penyamaan minit-minit akhir minggu lalu.

Melihat kepada rekod cemerlang yang dipamerkan, tidak hairanlah peminat bola sepak tempatan menggelar musim ini sebagai 'kuasa Selatan' apabila kedua-dua pasukan selatan tanah air (JDT dan Melaka United) telah mengesahkan kejuaraan untuk Liga Super dan Liga Perdana.

KAPTEN SPASO

SELAIN pihak pengurusan dan jurulatih, Mat Zan Mat Aris yang telah menaikkan semula nama Melaka United, ada satu lagi watak yang kini menjadi bualan ramai.

Ilija Spasojevic atau lebih dikenali dengan gelaran Spasogoal menjadi watak penting kepada kebangkitan Melaka United era ini.

Penyerang 28 tahun kelahiran Yugoslavia ini bukan sahaja menggalas tanggungjawab sebagai kapten untuk Melaka United, bahkan dia jugalah yang menjadi tunjang dalam hampir setiap kemenangan Melaka United musim ini.

Mana tidaknya, daripada 18 penampilannya bersama MU, dia telah menjaringkan 23 gol, sekali gus mencatatkan nama selaku penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini.

Tidak hairanlah, sudah banyak pasukan mula mengintai peluang untuk mencuri penyerang import berbisa ini musim depan.

GANJARAN

SETELAH diangkat menjadi juara Liga Perdana, imbuhan istimewa bakal menanti dalam kalangan pemain Melaka United.

Antara ganjaran yang telah diumumkan ialah pakej menunaikan umrah dan lawatan ke Old Trafford bagi menyaksikan perlawanan Manchester United pada November depan.

Malah, dikhabarkan akan ada ganjaran lain bakal menanti pemain dan pihak pengurusan Melaka United yang akan diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sekembalinya beliau daripada menunaikan haji nanti.

BAWA SEMANGAT

JELASLAH, usaha berterusan dan kerja keras dari semua pihak untuk menaikkan nama Melaka United benar-benar merealisasikan matlamat asal mereka.

Selain pemain dan pihak pengurusan yang bertungkus-lumus bekerja keras, tidak dilupa juga buat penyokong Hijau Putih yang terus-menerus memberikan sokongan kepada MU sejak dari beraksi di liga FAM hinggalah ke Liga Perdana dan seterusnya Liga Super musim depan.

Semoga peningkatan ke satu tahap lagi akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Melaka United untuk membawa semangat kemenangan ini dengan mendominasi saingan Liga Super 2017.

Adalah diharapkan supaya satu lagi kejuaraan liga dapat digenggam Melaka United setelah kejayaan membawa pulang trofi Liga FAM dan Liga Perdana dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

Apa pun, syabas dan tahniah Melaka United!

"Gegau Melaka Gegau!"