BEKAS penyerang skuad kebangsaan Lubnan, Mohammed Ghaddar melengkapkan kuota import The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirainya, pada 20 Januari ini.

Mohammed Ghaddar atau lebih dikenali panggilan ‘Mat Ghaddar’ dalam kalangan penyokong TRW antara tiga pemain yang disambar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selain Cedric Djeugoue (Cameroon) dan Okikiola Afolabi (Nigeria).

Kelantan masih mengekalkan bekas pemain antarabangsa Senegal yang beraksi di posisi tengah, Morgaro Gomis untuk musim ini selepas menggugurkan Blazhe Ilijoski (Macedonia), Wander Luiz Bitencourt Junior (Brazil) dan Jonathan McKain (Australia).

Langkah mengikat tiga pemain itu terpaksa dibuat dengan segera memandangkan Kelantan kesuntukan masa untuk menguji mereka berikutan badan induk bola sepak negeri itu berdepan konflik berhubung penyertaan mereka dalam Liga-M, baru-baru ini.

Apapun tindakan Kafa, sama ada tepat atau pun tidak, itu hanya boleh dinilai sepanjang aksi pusingan pertama Liga Super berlangsung sebelum proses penyingkiran dapat dilakukan pada jendela perpindahan kedua pemain, pertengahan musim nanti.

PERNAH CETUS SENSASI

MOHAMMED Ghaddar pernah mencetuskan sensasi ketika menyarung jersi Kelantan sebanyak dua kali namun nama dia masih kekal dalam ingatan penyokong antara penyerang import terbaik pernah dimiliki pasukan itu.

Sekalipun tidak disukai kerana sikapnya yang lebih mementingkan diri setiap kali berada di atas padang, namun pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan memori manis apabila muncul penjaring terbaik pasukan pada musim 2012 dengan 21 gol daripada 32 penampilan.

Katakan apa sahaja mengenai bekas penyerang Al-Faisally SC dalam Liga Jordan ini, yang pasti Mohammed Ghaddar pada hari ini mungkin telah berubah perangainya dan bersedia menjadi penggempur terhebat dalam saingan musim ini.

HADIR REPUTASI TINGGI

DJEUGOUE hadir ke Kota Bharu dengan reputasi tinggi selaku bekas anggota skuad Piala Dunia Cameroon di Brazil 2014 dan kelibat pemain kelahiran Moungo itu sudah pasti akan menjadi perhatian penyokong Kelantan.

Pada usia 25 tahun, pemain yang pernah mendapat kepercayaan jurulatih Jerman, Volker Finke bagi memperkukuhkan benteng skuad Les Lions Indomptables dalam kempen Piala Dunia itu bakal dijadikan perbandingan sama ada mampu menjadi ‘ Obinna Nwaneri’ kedua bagi skuad pantai timur itu.

Djeugoue perlu cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukannya untuk membentuk gandingan ampuh di benteng pertahanan sebelum aksi pembuka tirai Liga Super menentang Melaka United di Kota Bharu, memandangkan skuad kendalian Zahasmi Ismail tidak sempat menguji dia dalam tempoh berbaki seminggu ini.

ADA KEISTIMEWAAN SENDIRI

AFOLABI dikatakan memiliki keistimewaan tersendiri dengan keupayaan menggunakan kedua-dua belah kaki dan penyerang yang baharu berusia 23 tahun ini bakal menjadi senjata kedua selepas Mohammed Ghaddar untuk meletakkan bola di dalam jaring.

Bekas pemain skuad kebangsaan Nigeria bawah 20 dan 23 tahun itu pernah mewakili Sunshine Stars FC selama empat musim (2013 hingga 2016) sebelum menyertai kelab Talleres de Cordoba dalam Liga Primera Argentina.

Penyerang yang mempunyai ketinggian 1.92 meter itu mempunyai peluang terbaik untuk mencipta nama di gelanggang keramat TRW itu selepas Austin Amutu (Nigeria), berbuat demikian dua tahun lalu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MESKIPUN masih baru menyarung jersi pasukan berstatus kelab T-Team, namun pemilik nama Mohammad Ramzi Sufian mengakui amat teruja untuk mengharungi saingan Liga Malaysia buat julung kalinya musim ini.
  • KURANG dua bulan menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2016, rata-rata penyokong Perak menyuarakan keyakinan bahawa skuad Kejor Yeop Skor itu mampu mara lebih jauh dalam saingan Liga-M musim ini.
  • STADIUM Nasional Bukit Jalil kembali bergema sorakan padu pemain ke-12 Harimau Malaya pada aksi pertama kempen Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, malam kelmarin.
  • PERIBAHASA Melayu ‘ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi’ cukup sinonim dengan kehidupan seharian dan pepatah itu mungkin sesuai ditujukan kepada penyerang skuad Piala Presiden Kelantan musim ini, Mohd Faizwan Abdullah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.