BARU-baru ini, bekas ketua keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Chris Eaton mengeluarkan dakwaan apabila menuduh Malaysia mengatasi Singapura sebagai hab mengatur perlawanan di rantau Asia Tenggara.

Ini bukanlah kali pertama Eaton mengeluarkan dakwaan seumpama itu kerana pada 2012, Eaton pernah mengaitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan skandal mengatur perlawanan Liga Malaysia.

Eaton bagaimanapun gagal memberikan bukti bagi menyokong dakwaannya.

FAM KESAL

FAM kesal dengan tuduhan terbaru dan tidak berasas Eaton.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ia (mengatur perlawanan) merupakan isu antarabangsa dan tidak hanya terjadi di Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya giat membanteras kegiatan yang turut dikenali sebagai bookie itu dengan kerjasama pihak berkuasa, dan membentuk satu jawatankuasa integriti sejak lima tahun lalu di seluruh negeri.

“Isu bookie ini bukan hanya di Malaysia. Ia isu global, malah seluruh dunia melakukan siasatan berhubungnya, dan bila sampai masanya nanti akan diserahkan kepada pihak berkuasa, polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Itu hanya analisis beliau (Eaton) kerana bagi kita, isu ini tidak ada kesudahan di seluruh dunia, tetapi FAM akan terus memantau dan bekerjasama dengan Fifa, Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menerusi program Early Warning System (EWS) bermula tahun lepas lagi.

“Kita aturkan pelbagai program dalam membendung, mengurangkan serta menghapus gejala ini dan pelbagai kaedah serta pendekatan, di mana sesetengahnya tidak boleh dihebahkan kepada umum kerana sulit,” katanya.

SERAH BUKTI

PENGERUSI Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan atau bukti mengesahkan tuduhan Eaton.

Aseh berkata, Eaton pernah membuat tuduhan yang sama pada 2012, namun beliau gagal mengemukakan bukti kepada FAM.

“Saya tidak dapat sebarang maklumat daripada FIFA atau Eaton mengenai perkara itu. Ini kali kedua dia membuat kenyataan sedemikian.

“Kali pertama pada 2012, tetapi setelah berjumpa pegawai FAM, dia gagal memberi bukti. Saya amat berterima kasih jika dia dapat berjumpa Jawatankuasa Integriti FAM untuk membuktikan dakwaannya itu supaya siasatan rapi boleh dilakukan pihak berwajib.

TAK LENGKAP

SEMENTARA itu, sumber FAM memaklumkan, terdapat penurunan dalam aktiviti bookie walaupun tidak mempunyai statistik lengkap.

“Sukar untuk kita membendungnya memandangkan kita tidak pasti sesetengah kes ini disebabkan bookie atau sebaliknya,” katanya.

Kenyataan Hamidin disokong legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh dengan membidas Eaton agar tidak mencari salah pihak lain kerana Fifa sendiri terlibat dengan rasuah.

“Fifa sendiri ada rasuah, jadi kenapa beliau (Eaton) mahu cakap pasal rasuah di Malaysia sahaja? Jangan cakap pasal orang lain,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
  • BERMATLAMATKAN pengurusan sebuah kelab bola sepak telus, profesional dan mesra penyokong, tujuh peminat bola sepak telag bersatu hati menubuhkan kelab Bola Sepak Shah Alam Antlers.
  • LALUAN sukar itu gambaran bakal ditempuhi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mac nanti.
  • LIGA Bola Sepak Wanita (LBRW) yang akan bermula 3 Februari ini, bakal menyediakan medan pendedahan dan pengalaman perlawanan sebenar yang lebih meluas kepada skuad bawah 14 dan 16 tahun negara di Sekolah Sukan Malaysia Sabah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.