IBARAT sirih pulang ke gagang.

Mungkin itulah bidalan paling tepat bagi menggambarkan kepulangan pemain kebangsaan, Mohd Hafiz Kamal untuk beraksi bersama Perak bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M), 2017.

Malah kepulangan pemain berusia 30 tahun itu, sememangnya ditunggu-tunggu penyokong skuad The Bos Gaurus yang mahu menyaksikan anak kelahiran Sungai Batu, Pantai Remis itu membantu memacu kejayaan pasukan musim ini.

Ate apa idaknya yeop, Hafiz telah membuktikan kewibawaannya sebagai pemain bola sepak apabila membantu Pahang muncul juara Piala Malaysia dua musim berturut-turut (2013-2014) lalu, termasuk Piala FA pada 2013.

Hafiz juga sebahagian daripada pemain skuad kebangsaan yang muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2014 lalu, selain turut beraksi dalam saingan sama bagi edisi 2016 lalu.

Justeru, pengalaman luasnya dalam arena bola sepak tanah air, selain pernah beraksi mewakili skuad kebangsaan di pentas antarabangsa pasti menjadi taruhan Perak bagi mengecap kejayaan dalam saingan Liga-M 2017.

Menurut Hafiz, dia sendiri sudah tidak sabar untuk beraksi dengan skuad The Bos Gaurus setelah berkelana dan beraksi bersama pasukan lain sebelum ini.

Katanya lagi, sejak zaman remaja inilah kali pertama dirinya akan menyarung jersi negeri kelahirannya sendiri.

“Betul. Ini first time saya beraksi untuk Perak. Saya tak pernah main untuk team Piala Presiden sekali pun.

“Cuma saya pernah training bersama skuad Piala Emas Raja-Raja dulu. Tapi tak ingatlah tahun bila,” katanya kepada Ultras Sinar.

Tambah Hafiz, setakat ini dirinya tidak berdepan masalah untuk mengikuti latihan bersama rakan-rakan sepasukan yang baharu kerana sudah pun mengenali beberapa pemain sebelum ini.

Malah katanya, dirinya juga tidak berdepan masalah untuk mengikuti latihan di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Karl Heinz Weigang.

“Memang ada perbezaan dalam sesi latihan. Biasalah, lain pasukan lain corak latihannya. Tapi, Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada masalah apa-apa.

“Kawan-kawan di sini pun banyak membantu dan ini pastinya akan mengukuhkan lagi pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz turut menyasarkan untuk membantu Perak memenangi sekurang-kurangnya satu piala bagi musim 2017 ini.

Katanya, berdasarkan kapasiti pemain yang dimiliki skuad Kejor Yeop Skor itu musim ini, sasarann berkenaan mampu untuk direalisasikan.

“Insya-ALLAH, memang saya target untuk menang piala bersama Perak. Tak kisahlah piala apa pun. Asalkan satu piala dapat dibawa pulang ke negeri ini,” katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEDAH mengakhiri kempen pra-musim 2017 dengan lima kemenangan dan dua seri di dalam usaha untuk membentuk persefahaman dalam kalangan pemain tempatan dan juga import baharu yang dibawa masuk.
  • PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan yakin peminat bola sepak seluruh dunia akan memilih Mohd Faiz Subri sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016 pada 9 Januari depan.
  • KALENDAR Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) tahun ini akan melabuhkan tirainya dengan penganjuran kejohanan antarabangsa Piala SuperMokh bermula esok hingga 18 Disember ini dengan penyertaan akademi-akademi ternama dunia seperti Sporting CP, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester City.
  • PASUKAN Axis Puchong Frueza muncul juara Piala Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas menewaskan TOT United dengan jaringan penalti 3-2 di Putrajaya, baru-baru ini.