MARIO GOMEZ

KEJAYAAN sesebuah pasukan bola sepak tidak hanya bergantung kepada kemampuan pemainnya semata-mata, sebaliknya kepakaran yang dimiliki ketua jurulatihnya dalam menterjemahkan perjalanan skuad kendaliannya itu turut menjadi tunjang utama terhadap kecemerlangan mereka.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan pelaburan pasukan Johor Darul Ta’azim (JDT) dalam mendapatkan khidmat ketua jurulatih kelahiran Argentina, Mario Gomez nyata membuahkan hasil membanggakan apabila meraih pelbagai kejayaan bukan sahaja dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) bahkan muncul pasukan pertama daripada Asia Timur yang merangkul kejuaraan AFC Cup musim lalu.

Kehadiran pengendali berusia 59 itu sejak April tahun lalu menyaksikan pasukan JDT berada di puncak kejayaan dengan merangkul hatrik kejuaraan Liga Super musim ini, selain mempertahankan gelaran juara Piala Sumbangsih yang dimenanginya sejak 2105 dan juara Piala FA buat julung kalinya selepas menewaskan PKNS, 2-1 Mei lalu.

Kecemerlangan kem JDT itu jelas mengangkat Mario Gomez dalam kelasnya tersendiri selaku ketua jurulatih import terbaik pasukan Liga-M dan bakal memberikan saingan sengit serta lebih kompetitif musim 2017 yang dijadualkan memulakan tirainya penghujung Januari depan.

Selain melakukan persiapan rapi bagi mengharungi liga domestik musim depan, skuad kendalian bekas benteng pertahanan Kelab Ferro Carril Oeste itu juga dikatakan turut memberi tumpuan untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang juga bermula Januari nanti.

Usaha melebarkan kecemerlangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan merekrut beberapa muka baharu untuk diserapkan ke dalam pasukan bagi berdepan dengan cabaran domestik dan antarabangsa.

Antaranya termasuklah penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri yang menjadi pemain terbaru menyertai kem JDT, selepas Nazmi Faiz Mansor, Syahrul Azwari Ibrahim, Haziq Nadzli dan Muhammad Sapawi Rasid.

IRFAN BAKTI

TATKALA Mario Gomez dilihat sebagai antara jurulatih import terbaik Liga-M, bekas pengendali pasukan Felda United, Ifran Bakti Abu Salim pula antara nama besar yang disegani dalam kalangan pengendali tempatan apabila berjaya membawa kem bimbingannya itu muncul selaku naib juara Liga Super musim ini.

Tiga musim bersama kem Felda United sejak 2014, ketua jurulatih berusia 65 tahun itu berjaya membuktikan kepakarannya dalam membentuk pasukan yang hebat apabila membawa skuad The Fighters kembali gah di persada Liga Super selaku naib juara selepas hampir tersingkir ke Liga Perdana musim 2013.

Malah lebih membanggakan apabila tahun pertamanya bersama skuad The Figthers, Irfan Bakti turut berjaya membawa Felda United ke pentas final Piala FA, bagaimanapun tewas, 2-1 ke atas Pahang di Stadium Shah Alam, dua tahun lalu.

Begitu pun, kegagalannya dalam membantu skuad Felda United untuk membawa pulang salah satu piala dalam kempen Liga-M musim ini memaksanya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dan memilih pasukan Terengganu yang beraksi di Liga Perdana musim depan.

TAN CHENG HOE

SELAIN Irfan Bakti, pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe turut berada sebaris dalam kelompok jurulatih terbaik tempatan yang bersaing dalam kempen Liga-M musim ini, apabila berjaya menamatkan penantian selama lapan tahun buat skuad Lang Merah untuk muncul juara Piala Malaysia dan berada di tangga ketiga saingan Liga Super.

Kecemerlangan Cheng Hoe bersama skuad Kedah bermula musim lalu apabila membawa kem Lang Merah memimpin Liga Super dan muncul naib juara Piala Malaysia setelah tewas 2-0 ke atas Selangor, tahun lalu.

Menurutnya, kejayaan musim ini adalah yang paling manis dalam kariernya selaku jurulatih, walaupun pernah bersama Perlis dan Kelantan tetapi akhirnya dia meraih kejayaan bersama pasukan yang pernah diwakilinya sebelum ini.

Katanya, kejayaan tersebut cukup bermakna buat dirinya kerana bukan sahaja berjaya membantu Kedah mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, bahkan juga mampu menjulang kembali Piala Malaysia musim ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BERJAYA menyingkirkan Kelantan di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2016 membuka mata kem Hijau Kuning bahawa PDRM bukanlah kelab yang tidak perlu diberi perhatian malah kejutan akan terus berlaku jika Kedah tidak berwaspada.
  • JURULATIH Sarawak, David Usop mahu anak buahnya lebih berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan apabila berdepan Perak pada aksi kedua Piala Malaysia 2015 di Ipoh, Sabtu depan.
  • KETUA jurulatih sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee meminta pemain melupakan kekalahan memalukan dibelasah 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019, di Abu Dhabi Khamis lepas.
  • "KALAU kepala tak betul, ekor pun tak betul!," demikian respon awal Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim mengenai prestasi buruk pemain Malaysia terhadap perlawanan menentang UAE semalam.‎