ROMPIN – Seorang wanita yang merupakan pengusaha sangkar ikan di sungai Anak Endau, kampung Serinkin, di sini, mengalami kerugian kira-kira RM25,000 selepas empat unit sangkar ikan miliknya pecah dan dihanyutkan arus ketika banjir baru-baru ini.

Wartawan Sinar Harian difahamkan, pengusaha terbabit bernasib baik kerana kuantiti ikan tilapia peliharaannya tidak banyak pada waktu itu kerana sebilangan besar sudah dijual kepada peraih.

Fauzimas Othman, 43, berkata, enam unit sangkar yang tinggal pula tersadai di atas tebing sungai daN bahagian bawah sangkar juga rosak.

“Saya mempunyai 10 sangkar dan empat unit daripadanya telah dihanyutkan oleh arus sungai yang deras sewaktu banjir baru-baru ini manakala bakinya enam unit pula tersadai di atas tebing.

“Bahagian jaring bawah sangkar yang tinggal itu juga rosak teruk dan ikan yang ada semuanya terlepas. Kerugian yang saya anggarkan kira-kira RM25,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau memang dalam perancangan untuk memasukkan anak ikan baharu ke dalam sangkar namun menangguhkannya kerana bimbang berlaku banjir.

“Saya bernasib baik, jika tidak tentu saya menanggung kerugian yang lebih besar. Banjir kali ini paling teruk kerana sebelum ini sangkar hanya rosak biasa dan tidak menjejaskan keseluruhan struktur sangkar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan ibu kepada empat orang anak itu berharap akan ada bantuan daripada mana-mana pihak agensi kerajaan untuk meringankan beban kerugian yang ditanggungnya.

“Saya kini hilang punca pendapatan dan sumber kewangan yang ada sekarang memang tidak mencukupi untuk menampung kerugian.

“Harap akan ada bantuan dari pihak tertentu yang boleh memulihkan sangkar saya kepada sediakala,” katanya.

Menurutnya, kini terpaksa berhutang untuk membayar gaji pekerjanya dan bersyukur kerana mempunyai pekerja yang memahami situasinya.
 

Artikel Berkaitan