TIDAK sampai seminggu selepas mengumumkan empat awang import terbaharunya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terpaksa membuat pusingan U apabila menggugurkan salah seorang pemain berkenaan daripada menyarung jersi The Red Warriors (TRW) bagi saingan Liga Malaysia, musim depan,  lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Stefan Nikolic, penyerang kelahiran Montenegro dan pernah beraksi bersama Incheon United FC dalam Liga Klasik Korea Selatan pada tahun ini kini tidak lagi berada dalam senarai rasmi pemain import Kelantan.

Nama Nikolic, penyerang yang berketinggian 1.93 meter dikeluarkan pada hari terakhir pendaftaran pemain import oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berakhir tengah malam Jumaat lalu, berikutan masalah teknikal.

Satu sumber mendedahkan, Kafa terpaksa melupakan khidmat Nikolic berikutan urusan untuk mendaftarkan pemain itu menemui jalan buntu setelah dia gagal mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsanya (ITC).

“Mereka (Kafa) tidak lagi boleh menunggu lama kerana urusan Transfer Matching System (TMS) perlu diselesaikan sebelum jam 12 tengah malam, Jumaat lalu, namun timbul persoalan ke mana hilangnya ITC pemain berkenaan.

“Ejen pemain itu sendiri gagal mendapatkan ITC daripada kelab lamanya (Incheon United FC) dan kita pula diminta merujuk sebuah kelab di Republik Czech. Saya rasa seperti ada sesuatu yang tak kena dalam perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Enggan kontroversi itu berpanjangan, Kafa akhirnya mengambil tindakan pantas apabila mendaftarkan penyerang dari Colombia, Erwin Albeiro Carrillo Fragozo atau nama ringkasnya Erwin Carrillo. 

Perkara itu diumumkan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Facebooknya, semalam, apabila memberitahu sememangnya perancangan awal Kelantan mahu mendapatkan Erwin Carrillo namun gagal mendapat pelepasan daripada kelab lamanya, Union Magdalena.

“Tiba-tiba Stefan Nikolic menghadapi masalah ITC pada saat-saat akhir dan Erwin Carrillo pula berjaya mendapat pelepasan.

"Lalu kita sempat masukkan Erwin Carrillo ke dalam senarai pendaftaran dan lulus.” katanya.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :