HASRAT untuk melihat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengisi kekosongan kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menjadi kenyataan.

Ia susulan kenyataan terbaru dikeluarkan Tony yang menyatakan belum layak untuk menerajui kerusi nombor satu badan induk tersebut.

Sebelum ini, Tony menjadi calon favourite di samping nama besar lain seperti Datuk Seri Idris Jala dan Tan Sri Annuar Musa yang akan bertanding bagi kerusi itu.

Bagaikan memahami payah jerih untuk menghadapi situasi bola sepak negara, Tony menyifatkan dirinya belum cukup untuk mengenali bola sepak tempatan.

TIDAK RAKUS

SESUATU yang wajar dipuji kerana Tony tidak rakus untuk terus memegang tampuk pemerintahan FAM sebaliknya terlebih dahulu 'belajar' mengenai bola sepak tempatan.  

“Saya belum layak untuk duduki kerusi Presiden FAM. Dalam masa ini, saya perlu membangunkan bola sepak tempatan terlebih dahulu bersama kelab Petaling Jaya Rangers FC (PJ Rangers) sebelum memegang jawatan dalam badan induk bola sepak negara ini.

“Saya fikir sekarang bukan masa sesuai untuk menjadi presiden. Dan jika berjaya menghasilkan sesuatu yang bagus kelak, kenapa tidak?

“Bola sepak adalah darah daging kami. Kami sayang bola sepak,” katanya.

 

BERKECUALI

JUSTERU, beliau mengharapkan agar individu yang akan mengisi kerusi tersebut memahami selok-belok dan berusaha membawa  bola sepak tempatan kembali ke zaman kegemilangan.

Tegas Tony, beliau tidak mahu melihat Presiden FAM yang akan datang tidak tahu mengenai bola sepak Malaysia dan perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Biarlah presiden itu bukan individu yang sekadar masuk ke FAM, bukan menteri, bukan ahli perniagaan atau berkaitan.

“Ia perlu diisi oleh seseorang yang benar-benar memahami bola sepak dan pembangunan sukan ini.

“Individu itu juga perlu mempunyai semangat dan boleh memberi fokus  24 jam tujuh hari seminggu dan cukup kuat tanpa sebarang pengaruh politik serta melakukan perkara yang betul untuk bola sepak,” katanya.

BARAKAN!

TONY juga melihat bahawa bola sepak di negara ini sudah hilang keghairahan dan menjadi tanggungjawab presiden untuk mengembalikan semula jiwa ke dalam diri penyokong setia Malaysia.

“Apa yang penting, seorang presiden persatuan bola sepak itu perlu memahami permainan itu serta mampu menimbulkan keghairahan dalam sukan ini,” katanya.

Pada September lalu, Tony membuat pengakuan bahawa beliau sedia pertimbangkan untuk menjadi presiden FAM.

Kerusi panas FAM itu bakal dikosongkan oleh penyandangnya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memilih untuk berundur pada Kongres Tahunan FAM, 25 Mac depan.