PAHANG melakar sejarah tersendiri apabila menjulang Piala Malaysia dua tahun berturut-turut selepas menafikan impian besar Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan penentuan sepakan penalti 5-3 selepas kedua pasukan terikat 2-2 sepanjang 120 minit dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 edisi ke-88 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Harimau Selatan yang memulakan sepakan bermula agak goyah apabila gandingan Safiq Rahim dan Shakir Shaari sering kehilangan bola menyebabkan perlawanan dikuasai Pahang pada lima minit pertama.

Percubaan pertama Tok Gajah memburu gol awal kelihatan pada minit ke-8 apabila hantaran jauh dari Damion Stewart gagal ditanduk kemas Matias Conti yang melegakan penyokong Harimau Selatan.

Selang seminit kemudian, pemain sayap lincah Pahang, R Gopinathan nyata begitu berbisa apabila mudah menewaskan Mahali Jasuli untuk masuk ke kotak penalti JDT dan melepaskan rembatan namun tertampan Fadhli Saas.

Harimau Selatan yang tertekan dengan asakan bertali arus Pahang mempunyai peluang pada minit ke-10 hasil hantaran pendek Luciano Figueroa dan Pereyra Diaz namun Kapten Pahang, Razman menafikan hasrat JDT untuk gol pertama.

Kesilapan Mahali Jasuli yang menjatuhkan Gopinathan di luar kotak penalti pada minit 14 nyata membawa padah apabila Dickson Nwakaeme menanduk sepakan percuma dari Azidan Sarudin menewaskan Al – Hafiz untuk gol pertama Pahang.

Tersentak dengan gol tersebut, ketua Jurulatih JDT, Bojan Hodak meletakkan Mahali di bahagian sayap kanan dan tempatnya diambil Jasarin Jamaludin bagi mengekang kelincahan Gopinathan.

Perubahan tersebut nyata mengubah corak permainan Harimau Selatan dengan Safiq serta Shakir mula memainkan peranan mengerakkan jentera serangan.

Ketua Pasukan JDT, Safiq hampir menyamakan kedudukan buat pasukan namun rembatannya pada minit ke-18 tertampan Razman yang melegakan penyokong Tok Gajah.

Bisa gandingan Figueroa dan Diaz mula kelihatan memasuki minit ke-20 apabila berjaya menemui rentak hasil hantaran pendek yang mengucar-kacirkan benteng Tok Gajah.

Usaha gigih Harimau Selatan memburu gol penyamaan terhasil apabila kekalutan dalam kotak penalti  Pahang dimanfaatkan sepenuhnya Diaz untuk merembat bola menewaskan Khairul Azhan pada minit ke-30.

Selang dua minit kemudian, Harimau Selatan memperolehi sepakan penalti selepas hantaran jauh dari Mahali kepada Figueroa  dalam kawasan penalti tertampan tangan Razman yang mudah disempurnakan Figueroa untuk mendahului Tok Gajah.

Pahang cuba menyamakan kedudukan berbaki dua minit separuh masa pertama namun kekentelan benteng JDT yang diterajui Antonio, Fadhli, Asrarudin dan Jasarin memastikan kedua pasukan masuk ke bilik persalinan dengan Harimau Selatan berada di depan.

Memasuki babak kedua, Pahang yang memulakan sepak terus melancarkan gerakan melalui Gopinathan dan Azamudin Akil namun gagal memecah benteng JDT.

Peledak berbisa Harimau Selatan, Diaz hampir meledak gol kedua peribadi dan ketiga pasukan selepas berjaya menewaskan Khairul Azhan pada minit 52 namun tiang gol sebelah kiri menjadi penghalang.

Menyedari bahagian tengah kurang berfungsi, Ketua Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan mengeluarkan Faizol  dan memasukan Hafiz Kamal pada selang lapan minit kemudian sambil Hodak turut membuat pertukaran Mahali dengan Amirul Hadi Zainal.

Kemasukan Hafiz memberi nafas di bahagian tengah dan serangan namun ketika Pahang ghairah melancarkan serangan, Saiful Nizam dilayangkan kad merah kerana mengasari Amri Yahya dalam kotak penalti ketika Pahang beroleh sepakan penjuru.

Kehilangan seorang pemain tidak melemahkan Tok Gajah apabila Nwakaeme memastikan perjuangan Pahang berterusan selepas menyempurnakan hantaran Stewart minit ke-70 untuk menyamakan kedudukan.

Figueroa hampir memastikan kemenangan mutlak buat JDT namun sepakannya sekali lagi terkena tiang yang melegakan penyokong Tok Gajah untuk memasuki perlawanan masa tambahan.

Deretan peluang terhidang gagal dijelmakan jaringan jentera peledak kedua-dua pasukan pada30 minit masa tambahan memastikan perlawanan ditentukan melalui sepakan penalti yang memihak Pahang dengan keputusan 5-3.

Artikel Berkaitan