NAMA Fakrul Zaman Wan Abdullah Zawawi mungkin agak asing dalam peta bola sepak Kelantan. Namun pemain daripada produk skuad Piala Belia Kelantan ini mempunyai masa depan cukup cerah sekiranya digilap dengan lebih.

Pemain berusia 20 tahun ini mula mengegar setelah berjaya membantu pasukannya muncul naib juara Kejohanan Bola Sepak Piala Belia Bawah 19 Tahun di Kuantan, tahun lalu.

Berikutan aksi cemerlangnya, dia telah dipanggil pengendali Piala Presiden ketika itu, Sideek Samsudin menyarung jersi Kelantan sekali gus membantu skuad berkenaan muncul juara pada tahun sama.

Sering kali digandingkan bersama Adlie Aziz selaku jentera penggempur, Fakhrul Zaman membuktikan ketajamannya di depan gawang lawan dan muncul antara penjaring terbanyak buat pasukannya.
 

WAKILI SENIOR

Melihat satu demi satu pemain skuad Piala Presiden yang berjaya diserap masuk mewakili pasukan senior, jelas menerbitkan perasaan cemburu buat anak jati Kampung Penambang, Kota Bharu ini untuk turut sama mengikut jejak langkah ‘abang-abangnya’.

“Saya hendak jadi pemain bola sepak profesional. Saya hendak berjaya dalam bola sepak yang sudah saya ceburi sejak berusia enam tahun. Sasaran saya hendak menyarung jersi skuad senior,” kata anak muda yang membesar di padang bola sepak di kampungnya itu.
 

TOLAK TAWARAN

Dua kali tawaran menyertai Harimau Muda ditolak mentah-mentah bukan bermakna pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Low’ dalam kalangan rakan sepasukannya itu tidak berminat untuk menyarung jersi skuad pelapis negara.


Gara-gara sakit pinggang pada tahun 2012, menyaksikan dia menolak pelawaan jurulatih, Mat Zan Mat Aris dan situasi sama berulang pada tahun musim lalu apabila mengetepikan tawaran bersama skuad pemain pelapis akibat kecederaan harmstring.

“Saya tidak menolak rezeki tetapi kecederaan itu datang pada pada masa saya mendapat tawaran. Jika mendapat panggilan selepas ini, saya pasti akan pertimbangkan,” katanya yang mendapat galakkan daripada abangnya untuk berkecimpung secara serius dalam bola sepak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :