TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengemukakan surat pertuduhan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) berhubung insiden di dalam terowong Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor, dibuat berdasarkan peraturan sedia ada.
   
Naib Presiden FAM Datuk Afandi Hamzah berkata badan induk bola sepak kebangsaan itu mendapati wujud kes dalam insiden berkenaan iaitu kegagalan pasukan tuan rumah menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi ketika melayan pasukan pelawat T-Team dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada 1 Februari lepas.
   
"Kes ini (surat pertuduhan) berada dalam bidang Jawatankuasa Tatatertib. Jadi tidak wajar untuk kita memberikan sebarang komen terhadap kes yang sedang dan akan dibicarakan oleh jawatankuasa itu," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM di sini hari ini.
   
JDT diberi tempoh seminggu untuk menjawab surat pertuduhan berkenaan atau berdepan tindakan tegas daripada Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Mengulas mengenai keputusan FAM menganugerahkan kemenangan percuma 3-0 kepada JDT pada 6 Februari lepas, beliau berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira keengganan pasukan pelawat untuk meneruskan baki perlawanan.
   
"Pegawai perlawanan hari itu menyatakan bahawa perlawanan boleh diteruskan. Jadi bagi pasukan yang enggan meneruskan perlawanan, ia dikira sebagai kalah," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :