'KERETA kebal' Pahang, Damion Delano Stewart tidak gentar dengan ancaman jentera serangan Kelantan apabila kedua-dua pasukan bertemu di Shah Alam pada aksi final Piala Malaysia.

Menurut import Jamaica itu, dia serta gandingan Jalaluddin Jaafar dan Razman Roslan sudah bersedia untuk menghadapi The Red Warriors meskipun menyedari ia antara tugas paling mencabar dalam perlawanan akhir nanti.

Katanya, sepanjang tempoh 90 minit Tok Gajah tidak boleh leka jika mahu Piala Malaysia dibawa ke Kuantan.

"Jika kita menyempurnakan peluang tidak mustahil penantian selama 21 tahun untuk muncul juara akan tercapai kali ini,” katanya.

Pada masa sama, bekas pemain Queen Parks Rangers (QPR) itu mengakui lawan mereka adalah pasukan yang bagus dan sebelum ini memberikan kesukaran buat Pahang namun baginya ia bukan satu penghalang buat pasukan itu.

“Kita dah layak ke final dan kedua-dua pasukan ada peluang untuk memenanginya. Pasukan yang bekerja keras dan beraksi cemerlang boleh muncul juara.

“Bagi saya pula, semestinya saya akan berusaha sehabis mungkin untuk memberikan kejayaan dan kegembiraan buat pasukan, pengurusan dan penyokong,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :