KALAU dah namanya peminat bola sepak, apa juga aktiviti dibuat pasti berkaitan dengan sukan nombor satu dunia itu. Ibarat kata pepatah moden, makan bola, tidur bola.

Begitu jugalah dengan kelompok penyokong tegar Perak, Silver State Ultras (SSU) yang tetap aktif dengan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sukan bola sepak.

Apatah lagi setelah Perak tersingkir awal pada saingan Piala Malaysia 2014 apabila gagal melepasi saingan peringkat kumpuan baru-baru ini, kelompok SSU masih tetap meneruskan aktiviti dengan menyertai kejohanan-kejohanan bola sepak tempatan yang dianjurkan.


TEMU MATA

Mengulas lanjut salah seorang komrad SSU, Zakry Mohd Redzuan 32 menjelaskan, biarpun tidak lagi ke stadium sebagaimana biasa tetapi kelompok SSU tidak hanya berdiam diri tetapi masih kerap bertemu untuk menjalankan aktiviti bersama.

Ujarnya, antara aktiviti yang kerap dianjurkan adalah seperti futsal selain menyertai kejohanan bola sepak padang anjuran komuniti tempatan.

“Seperti biasa, kami akan bermain futsal sebagai aktiviti mingguan, tidak kira saingan liga masih berlangsung, apatah lagi pada ketika pasukan Perak sudah tidak lagi beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

“Yang penting, kami tetap bertemu dan menjalankan aktiviti bersama, sambil menantikan musim baharu Liga Malaysia, kelak.

“Berkelah, beriadah dan sebagainya, asalkan kami dapat berkumpul dan merancang aktiviti seterusnya,” katanya kepada Ultras Sinar.


TETAP SOKONG

Difahamkan, baru-baru ini kelompok SSU juga turut menyertai kejohanan bola sepak sembilan sebelah di Padang Ipoh, baru-baru ini.

Jelas Zakry, SSU akan tetap menyokong skuad Kejor Yeop Skor itu sampai bila-bila, baik ketika kalah, mahu pun ketika menang.

"Kami tetap sokong, walau apa keadaan sekali pun. Walau ketika kalah, walau ketika menang kami akan tetap berdiri dan chant bersama-sama.

 “Bagi kami, tidak ada erti putus asa dalam menyokong pasukan. Don’t mess with the yobs!” katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :