SELANGOR PKNS FC menyasarkan sekurang-kurangnya meraih kedudukan dua teratas dalam kempen Liga Premier 2015 bagi melayakkan pasukan berstatus kelab itu beraksi dalam saingan Liga Super, musim depan.
   
Presidennya, Siti Zubaidah Abd Jabar yakin sasaran tersebut mampu direalisasikan dengan pelantikan bekas jurulatih Terengganu, E. Elavarasan yang berpengalaman luas membimbing beberapa pasukan tempatan sebelum ini, selain kehadiran tiga pemain import baharu.
   
Skuad dengan jolokan 'The Fire Ants' itu diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain import dari Argentina, Gonzalo Manuel Soto dan Gabriel Miguel Guerra serta Keisuke Ogawa dari Jepun selain mengekalkan penyerang import dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh.
   
"Kita akui saingan Liga Premier musim ini agak mencabar namun menerusi persediaan rapi pasukan, saya yakin sasaran itu mampu dicapai. Saya turut berkeyakinan pengalaman luas yang dimiliki Elavarasan mampu membantu pasukan PKNS FC meraih kejayaan cemerlang," kata Siti Zubaidah.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pasukan berkenaan bagi musim 2015 serta ikrar integriti yang disempurnakan Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah di perkarangan pusat membeli-belah SACC di sini, hari ini.

Elavarasan pula mengganggap saingan Liga Premier bermula 6 Februari ini, dijangka sengit dengan persiapan rapi beberapa pasukan yang berbelanja besar seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah dan Johor Darul Ta'zim II.
   
"Bagi saya, semua pasukan bertanding dalam Liga Premier musim ini, berpeluang muncul juara. Kita juga mempunyai azam untuk naik ke Liga Super musim depan, sama seperti Pulau Pinang dan Kedah dan saya harap pemain import kita mampu memberi impak positif untuk membantu pasukan meraih kejayaan," katanya.
   
Dalam pada itu, bekas penyerang kebangsaan, Liew Kit Kong, 36, berharap 'perguruan' beliau selama tiga tahun dengan salah sebuah akademi bola sepak di Jepun mampu menghadirkan sinar buat pasukan berkenaan untuk mencatat kejayaan cemerlang pada musim ini.
   
"Saya lihat ada beberapa pasukan yang boleh memberi cabaran kepada kita seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan JDT II namun saya harap ilmu yang ditimba di Jepun boleh dimanfaatkan untuk kebaikan pasukan.
   
"Bagi saya, usia bukan penghalang untuk membantu pasukan mencapai kejayaan kerana saya percaya mereka mempunyai ramai pemain muda yang berbakat," kata pemain kelahiran Perak itu.

Untuk rekod, Selangor PKNS FC tersingkir ke saingan Liga Premier musim 2015 selepas menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan bertanding dalam Liga Super 2014 selepas mengutip 18 mata.
   
Mereka bakal berdepan wakil kelab dari Terengganu, T-Team pada aksi pembukaan Liga Premier pada 6 Feb ini, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.
        
Senarai Pemain Selangor PKNS FC musim 2015:

Penjaga Gol: G. Jeevananthan, Norhadi Ubaidillah, Mohd Norhaziq Mohd Aris. Pertahanan: Abdul Ghani Abd Rahman, Gonzalo Manuel Soto, Ahmad Khuzaimi Piee, P. Gunalan, Mohd Zulhariz Mohd Noor, Mohd Yusri Abas. Pemain Tengah: Mohd Nizam Abu Bakar, Keisuke Ogawa, Shahrul Azhar Ture (ketua pasukan), Mohd Munir Amran, Mohd Faiz Mohd Isa, Mohd Khairu Azrin Khazali, Mohd Nazrin Shamsulbahri, M. Sivakumar, Mohd Aminuddin Mohd Noor, Muhammad Nor Ubaidillah Abd Rahman, Gabriel Miguel Guerra. Penyerang: Liew Kit Kong, Farderin Kadir, Mohd Arip Amiruddin, Patrick Ronaldinho Wleh, Mohd Fazli Baharuddin.

- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :