KUALA TERENGGANU - Pemain veteran Rosdi Talib kembali memperkuatkan benteng pertahanan Terengganu yang akan menentang Johor Darul Takzim FC (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, Johor Bahru, esok.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan berusia 37 itu sudah pasti akan menggunakan segala pengalaman dan kepakaran yang dimiliki dalam mematahkan serangan pemain bintang ternama dalam pasukan JDT.

Ketua jurulatih Terengganu, E. Elavarasan berkata Rosdi akan diturunkan dalam perlawanan tersebut berikutan beberapa pemain tidak dapat beraksi akibat penggantungan.

Menurutnya antara pemain tonggak yang tidak dapat beraksi dalam perlawanan penting itu termasuk Md Zubir Md Azmi, Mohd Farderin Kadir dan Ismail Faruqi Ashaari.

"Walaupun begitu, kita kembali mendapat khidmat Mohd Faizal Muhammad dan Abdul Manaf Mamat yang dianggap mampu memainkan peranan penting dalam perlawanan tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.   

Katanya tanpa beberapa kelibat pemain utama, ia sama sekali tidak menjejaskan persiapan pasukan untuk memburu tiga mata berharga.

Beliau berkata pasukan Terengganu masih mempunyai barisan mantap dalam memastikan mencapai sasaran memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super.

Buat masa ini, skuad kedalian Elavarasan menghuni tangga ketujuh manakala JDT yang dibarisi pemain bintang menduduki tangga keempat liga.

"Sasaran kita adalah untuk memperbaiki kedudukan dalam liga. Justeru, perlawanan menentang JDT amat penting untuk memperbaiki kedudukan liga," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :