KALENDAR Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) tahun ini akan melabuhkan tirainya dengan penganjuran kejohanan antarabangsa Piala SuperMokh bermula esok hingga 18 Disember ini dengan penyertaan akademi-akademi ternama dunia seperti Sporting CP, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester City.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPBN, Safirul Azli Abu Bakar, penyertaan akademi-akademi ternama dunia pada edisi kali ini adalah hasil daripada jaringan hubungan yang kuat antara PPBN dengan akademi-akademi bertaraf antarabangsa di seluruh dunia.

“Setiap kali kami lakukan siri perlawanan persahabatan di peringkat Eropah mahupun Asia, sudah pasti kami tidak pergi atas nama perlawanan bola sepak semata-mata, malah ianya lebih dari itu.

"Saban tahun, hubungan PPBN dengan akademi-akademi ternama dunia semakin erat, secara tidak langsung kami mempromosikan inisiatif-inisiatif kami bagi menarik minat mereka.

“Sudah tentu dengan penyertaan akademi-akademi ternama pada kali ini, akan meningkatkan lagi mutu pertandingan dan umum akan disajikan dengan persembahan dan pertembungan bakal bintang-bintang dunia, sekali gus dapat berkongsi manfaat dengan pasukan-pasukan tempatan,” ujar Safirul.

Safirul turut mengesahkan penyertaan skuad tempatan sebanyak empat pasukan bagi kategori bawah 12 tahun dan 6 pasukan bagi kategori bawah 14 tahun.

ELEMEN MENARIK

DALAM pada itu, Safirul turut menyatakan bahawa penglibatan pasukan-pasukan dari Eropah akan menambah satu elemen yang menarik di dalam penganjuran Piala SuperMokh edisi kali ini.

“Umum sudah mengetahui apabila skuad elit B-13 ke Jelajah Eropah pada tahun lepas, mereka telah menewaskan Sporting CP di dalam perlawanan akhir Piala Iber Costa Del Sol dengan jaringan 2-1.

“Namun, selepas itu mereka tewas di tangan kelab Perancis, PSG di suku akhir Piala Iber Estoril. Kedua-dua kelab ini akan turut serta di dalam edisi Piala SuperMokh kali ini, seolah-olah meneruskan perseteruan mereka sebelum ini,” tambah beliau sambil memaklumkan penampilan semula Manchester City dari England bagi edisi tahun ini sebagai juara bertahan Piala SuperMokh kategori B-13.

Berbeza dengan edisi sebelumnya, penganjuran Piala SuperMokh pada tahun ini mengekalkan kategori bawah 12 tahun, manakala kategori bawah 14, diperkenalkan menggantikan kategori bawah 13 tahun yang dianjurkan pada tahun lalu.

Sebanyak 16 pasukan akan bertanding di dalam kategori bawah 12 tahun dan 20 pasukan bertanding di dalam kategori bawah 14 tahun.

Padang sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil dipilih sebagai gelanggang akhir kejohanan, di samping gelanggang-gelanggang lain iaitu Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Akademi Maybank Bangi, TSI Arena Cyberjaya, dan Padang UiTM-Perindu Shah Alam melengkapkan senarai gelanggang kejohanan yang akan bermula akan bermula pada Isnin (12 Disember 2016) dan perlawanan akhir pada Ahad (18 Disember 2016).