RATA-rata penyokong yakin Perak mampu menamatkan baki saingan Liga Super 2015 dengan cemerlang dan sekali gus merealisasikan misi berada dalam kelompok lima pasukan terbaik musim ini.
 
Krew yob4ever.com, Ahmad Zaimy Mohd Yatim berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada prestasi semasa pasukan yang dilihat mencatatkan beberapa keputusan memberangsangkan sejak kebelakangan ini.
 
Justeru, menurut Ahmad Zaimy, semua pemain perlu mengekalkan fokus selain terus konsisten sehingga ke penghujung saingan liga, kelak.
 
“Berdasarkan prestasi semasa Perak  masih ada peluang. Konsisten di penghujung liga perlu ada. Namun pada ketika ini pasukan seperti Pahang dan JDT dilihat mempunyai sedikit kelebihan.
 
“Bola itu bulat, apa sahaja boleh berlaku. Yang penting pastikan tiga mata di gelanggang sendiri dan sekurang-kurangnya mampu membawa pulang satu mata ketika bertandang ke gelanggang lawan.
 
“Apa pun, kita yakin sasaran lima  pasukan terbaik  liga yg ditetapkan mampu dicapai. Apa saja penyudahnya penyokong patut berbangga dengan pasukan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Dalam pada itu, Ahmad Zaimy berkata pihak pengurusan perlu bijak mengekalkan pemain-pemain sedia ada  khususnya pemain muda yang dilihat begitu berbakat pada masa hadapan.
 
Malah katanya, pemain-pemain muda berkenaan juga dilihat sebagai satu ‘aset’ paling berharga buat skuad Kejor Yeop Skor itu kelak.
 
“Perak mempunyai barisan pemain yg mampu menggegarkan Liga Malaysia (Liga M), dengan syarat pemain sedia ada sekarang tidak dipancing pasukan berbelanja besar seperti JDT mahu pun pasukan-pasukan lain musim depan,” katanyanya lagi.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :