PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menafikan pihaknya menjual tiket perlawanan melebihi kapasiti berikutan dalam perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala FA 2013 antara Pahang dan Johor DT yang terpaksa dibatalkan di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Sebaliknya, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim memberitahu, persatuan telah memastikan jumlah tiket yang dijual kepada peminat tidak melebihi kapasiti stadium, 35,000 penonton.

Menurutnya, PBNP menjual tiket terbuka sebanyak 30,220 keping dan 1,100 (berbumbung) untuk perlawanan tersebut.

“Memang kita lihat penonton yang hadir ramai, namun faktor cuti persekolahan menyebabkan jumlahnya memenuhi stadium kerana ada ibu bapa yang bawa anak mereka menyaksikan perlawanan ini.

“Kita tidak mengenakan bayaran buat kanak-kanak bawah 12 tahun, hanya atas 12 tahun perlu membayar dengan harga tiket dewasa dan ini menyebabkan stadium kelihatan padat,” dakwanya kepada
Sinar Harian, semalam.

Berhubung dakwaan tiket palsu, Fuzzeimi tidak menafikan terdapat insiden tersebut dan ada pihak tertentu mengambil kesempatan.

Ditanya tiket yang didakwa peminat iaitu tiket yang hanya memaparkan nama Pahang tanpa tarikh dan pasukan lawan, beliau menyatakan ia adalah tiket “standby”.

Menurutnya, setiap musim, persatuan akan menempah tiket tersebut dan akan dijual mengikut perlawanan tertentu dan mempunyai warna yang berbeza dan itu mungkin mengelirukan peminat.

Katanya, pihaknya hanya menempah tiket tersebut daripada syarikat yang dilantik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tidak mempunyai kuasa penetapan warna tiket dalam hal tersebut.

Beliau turut menafikan terdapat insiden pintu stadium yang dipecahkan kerana pintu itu berjaya dibuka akibat rempuhan peminat yang tidak dapat memasuki kawasan stadium.

Dalam pada itu, Fuzzeimi turut memuji sikap sebahagian besar penonton Pahang yang memberikan kerjasama dan tidak membuat kecoh selepas Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mencemar duli
turun ke kawasan trek meminta penonton agar tidak mengganggu perlawanan selepas tidak mendapat tempat duduk masing-masing.

“Khususnya buat Ultras Pahang yang sanggup memberikan tempat duduk mereka kepada peminat, PBNP menghargai sikap mereka,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :