KOTA BHARU - Penyerang import Sarawak, Muamer Salibasic perlu membuat perakuan maaf kepada tonggak pertahanan pasukan Kelantan, Mohd Fitri Omar apabila didakwa menghamburkan kata-kata kesat selepas tamat perlawanan saingan Liga Super antara Kelantan dan Sarawak di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Jumaat lalu.

Menurut Mohd Fitri, pemain kelahiran Bosnia Herzegovina itu didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibunya beberapa kali termasuklah ketika perlawanan sedang berlangsung, namun dia masih bersabar walaupun turut dikasari.

“Saya sudah mengadu hal ini kepada pegawai perlawanan pada malam tersebut. Saya tidak mempunyai bukti dan saksi, namun saya tetap mahu dia (Salibasic) sendiri tampil minta maaf kerana perlakuannya yang tidak sopan itu.

“Saya tidak kisah jika sekadar bertengkar mulut kerana ia perkara biasa dalam bola sepak tapi jangan babitkan ibu saya. Dia sebagai pemain import sepatutnya lebih menghormati pemain tempatan dan bertindak lebih sopan ketika permainan.

Dia lakukan perkara itu (kata-kata kesat) ketika perlawanan dan mengulangi lagi selepas tamat permainan hingga membuatkan saya hilang sabar,” katanya.

Pada perlawanan itu, Kelantan terpaksa berhadapan kekalahan tipis dengan jaringan 1-0 di gelanggang sendiri apabila pasukan lawan berjaya merobek gol kawalan Khairul Fahmi Che Mat.

Namun tanpa disedari, selepas tamat perlawanan, penonton kedua-dua pasukan dikejutkan dengan tindakan drastik Mohd Fitri yang dilihat tidak berpuas hati dengan Salibasic sehingga hampir menimbulkan kekecohan di tengah padang, namun berjaya dikawal rakan sepasukan dan pengendali sementara The Red Warriors (TRW), Mohd Hashim Mustapha.

Dalam perkembangan sama, Hashim ketika ditanya mengenai isu tersebut berkata, dia tidak dapat beri gambaran jelas mengenai punca sebenar pergaduhan walaupun Salibasic didakwa mengeluarkan kata-kata kesat itu kepada pemain pasukan kendaliannya.

Walaupun begitu, dia mengakui bertindak cepat dan berjaya mengawal emosi Mohd Fitri yang ketika itu hampir menyerang pasukan lawan.

“Bagaimanapun saya dan pegawai lain berjaya memujuk Mohd Fitri sebelum membawanya ke bilik persalinan.

"Selain itu saya juga menasihatinya supaya bersabar jika mahu kariernya berpanjangan bersama Kelantan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :