KUANTAN - Jumlah mangsa banjir di daerah Temerloh meningkat kepada 119  orang daripada 40 keluarga sehingga 1 tengah hari berbanding 38 orang daripada 13 keluarga pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Zainal Yusoff berkata, selain Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor, Mentakab dan Surau Kampung Bongsu, sebuah pusat pemindahan lagi turut dibuka di SK Desa Bakti.

"Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di SK Batu Kapor meningkat kepada  78 orang berbanding hanya 32 mangsa pagi tadi, manakala di Surau Kampung Bongsu, mangsa yang ditempatkan di situ telah berkurangan daripada 26 orang kepada enam orang sahaja.

"Pusat pemindahan baharu di SK Desa Bakti pula menempatkan seramai 35 mangsa setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya pelbagai agensi serta jabatan kerajaan yang berkaitan seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat termasuk menyalurkan barangan dan keperluan untuk kegunaan di pusat pemindahan.

"APM sedang memantau rapi perkembangan banjir di daerah ini berikutan keadaan air di kawasan Mentakab yang  semakin menaik," katanya.

Sementara di daerah Raub, keadaan banjir pulih sepenuhnya dengan kesemua 26 mangsa daripada enam keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan Balairaya Kampung Pamah Rawa dan Balairaya Kampung Pamah Kulat pagi tadi, telah dibenarkan pulang secara berperingkat-peringkat .

Anggota APM turut membantu kesemua mangsa membersihkan rumah masing-masing, katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :