IPOH - Proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) lebih 1,000 pelajar dari lima sekolah di daerah Kinta terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat selama lima jam awal pagi tadi.

Sekolah-sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mutiara, SK Tambun, SJKC Hing Hwa, SJKC Min Sin dan SMK Seri Puteri.

Pegawai Pendidikan daerah Kinta Utara, Hasni Hashim berkata, dalam lawatan pemeriksaan yang dilakukan, sesi PdP tidak dapat dilaksanakan memandangkan kelas-kelas dipenuhi dengan lumpur.

Menurutnya, murid SJKC Hing Hwa tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah manakala murid SK Tambun hanya sebahagian murid yang hadir ke sekolah.

“Sebahagian guru menjaga murid yang berada di sekolah manakala sebahagin lagi membantu kerja-kerja pembersihan kelas.

Keadaan banjir di SK Tambun yang turut menyebabkan PdP terganggu.

“Buat masa ini, punca sebenar masih tidak diketahui bagaimanapun, hujan lebat sekitar jam 3 hingga 7 pagi selain kawasan ini berhampiran sungai menjadikan ia lebih berisiko berlaku banjir kilat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemeriksaan hampir 45 minit di kawasan sekolah SK Tambun dan SJKC Hing Hwa semalam.

Tambah Hasni, pihaknya menyerahkan kepada guru besar sama ada akan dibuat kelas ganti atau tidak.

“Kita masih mentaksir kerosakan yang ada malah daripada pemeriksaan tadi, kebanyakan perabot hanya dipenuhi kotoran dan ada sedikit reput namun ia masih boleh digunakan.

“Terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), wakil pemimpin masyarakat, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), polis dan Jabatan Pengairan dan Saliran,”katanya.

Artikel Berkaitan