PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan kerajaan komited membantu memperkasakan sukan bola sepak negara ini dengan menyokong program pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi.

“Bola sepak bukan sahaja permainan yang perlu diperkembangkan di peringkat akar umbi tetapi pelan pembangunan untuk ketengahkan bakat baharu yang berpotensi juga perlu dilakukan.

“Program ini tidak boleh dibiarkan dengan sendirinya tetapi perlu dilaksanakan dengan kaedah saintifik dan profesional, barulah dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu yang berkualiti,” jelasnya ketika berucap merasmikan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) di Dataran Pekan, Pahang, semalam.

Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bagi menterjemahkan sokongan itu, Najib berkata, kerajaan Pusat dengan Bank Rakyat bersedia menyalurkan peruntukan RM10 juta dalam tempoh tiga tahun kepada liga berkenaan.

Menurutnya, negara sehingga kini masih kekurangan platform mencungkil pemain baharu peringkat akar umbi.

“Walaupun kita pernah jadi juara AFF Suzuki beberapa tahun lalu, tetapi kita lihat 70 peratus pemainnya datang dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.

“Dalam erti kata lain saluran melahirkan bakat baharu terlalu sempit dan terhad serta tidak ada sumber menyeluruh.

“Sebab itu, bila Tengku Abdullah mengemukakan cadangan bahawa LBR adalah untuk memperkasakan bakat baharu, secara spontan saya nyatakan persetujuan kerana ia baik untuk pembangunan sukan bola sepak negara ini,” katanya.

LBR diilhamkan Tengku Abdullah dengan objektif untuk mengembangkan permainan bola sepak secara bersistematik selain menjadi institusi yang mampu melahirkan pemain berpotensi untuk beraksi dalam skuad negara.

Sebanyak 111 pasukan seluruh negara menyertai kejohanan bertaraf amatur ini dan pembahagian pasukan akan dilakukan mengikut zon dengan melibatkan 520 perlawanan.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :