LIMA perlawanan Liga Premier 2015 sepanjang bulan puasa ini menuntut keupayaan ketahanan mental dan fizikal semua pemain Kedah lebih dari biasa jika mahu terus kekal berada di dalam kelompok dua pasukan terbaik liga sehingga ke hujung musim.

Berjaya melepasi pelbagai halangan seperti berada pada kedudukan nombor lapan dan penyudah kualiti import tidak berkesan pada awal musim sehingga Mei lalu, kini Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berusaha memastikan beberapa masalah seumpama itu tidak berulang pada baki saingan dengan menyediakan beberapa pemain pelapis dari skuad Piala Belia dan Piala Presiden mereka sendiri.


Momentum lima kemenangan

Penolong Pengurus Kedah, Shafarizam Baderom berkata, momentum lima kemenangan berturut-turut Hijau Kuning sebelum saingan berehat panjang Mei lalu untuk memberi ruang kepada skuad kebangsaan beraksi di peringkat antarabangsa perlu dikekalkan.

Katanya, kemenangan demi kemenangan yang diraih itu telah menyumbang kepada peningkatan prestasi Kedah sekali gus berjaya menghuni tangga kedua liga, memungut 21 mata dan dibezakan hanya dua mata dengan pendahulu, T-Team.

“Kita sedar bahawa saingan semakin sengit namun tidak mustahil untuk Kedah terus konsisten berada di kelompok dua teratas selepas ini hasil prestasi memberangsangkan yang dipamerkan pada tiga perlawanan persahabatan lalu iaitu mencatatkan dua kemenangan dan satu seri.

“Sepanjang bulan Ramadan ini, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe telah merangka strategi sendiri untuk memastikan pasukan tidak terkesan dengan ibadah yang dijalankan terutamanya membabitkan pemain Muslim,” katanya kepada Ultras Sinar.


Pendedahan awal pelapis

Shafarizam berkata, selepas mereka membuka ruang kepada pemain Piala Presiden Kedah untuk bersama skuad utama, dua pemain Piala Belia Kedah iaitu Mohd Loqman Hakim Marzuki dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid turut dibawa masuk berlatih bersama skuad Liga Premier Kedah.

Jelasnya, Kedah mahu memberikan pendedahan awal kepada pelapis muda untuk lebih bersedia selepas saingan Liga Piala Belia 2015 sudah pun tamat pada awal Mei lalu.

“Kami telah belajar dari musim-musim lepas bahawa apabila saingan memasuki pusingan kedua kita sering mengalami masalah kecederaan, kecerdasan dan penggantungan akibat jadual yang dipinda.

“Kehadiran pemain-pemain muda dari Piala Belia dan Piala Presiden sangat membantu dalam hal ini untuk menggantikan pemain utama dan simpanan pada saat-saat kecemasan. Lebih baik kami bersedia awal untuk memastikan tempo pasukan kekal konsisten untuk sepanjang musim,” katanya

Bagi rekod, sepanjang tiga perlawanan persahabatan pada awal Jun, Kedah yang menggunakan kelibat ramai pemain Piala Presidennya berjaya menang ke atas pasukan Liga Super, Terengganu 3-0, seri dengan pasukan Liga Super, PDRM 1-1 sebelum kembali mencatatkan kemenangan ke atas kelab Liga Super, Felda United 2-1.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :