DEBUT awal Mohd Fikri Sudin atau Kecik bersama skuad Liga Super Perak, nyata menarik minat dan seterusnya menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong skuad Kejor Yeop Skor itu.

Larian pantas serta gelecekan bola menarik dalam usaha meloloskan diri daripada kawalan pertahanan lawan menjadikan pemain ini sering kali menarik perhatian dan seterusnya menjadi bualan hangat penyokong bola sepak Perak.

Justeru tidak hairanlah sejak debut sulungnya pada aksi berdepan Sime Darby di Stadium Perak 7 Februari lalu, pemain ini sentiasa sahaja mengisi slot dalam kesebelasan utama pasukan.

Namun bagi tuan empunya diri, tiada apa yang istimewa pada dirinya melainkan hanya sebagai seorang pemain bola sepak biasa yang sentiasa memberikan aksi terbaik setiap kali turun beraksi.

“Tiada apa yang istimewa pada saya. Saya cuma seorang pemain bola sepak yang akan sentiasa cuba memberikan aksi terbaiknya ketika beraksi di tengah padang.

“Perjalanan saya dalam bola sepak juga masih jauh. Ada banyak perkara yang perlu saya pelajari lagi dalam usaha menjadi seorang pemain bola sepak yang baik,” katanya kepada Ultras Sinar.

Sementara itu menurut Kecik, kejayaan terpilih sebagai pemain terbaik skuad Piala Belia bagi musim 2012 lalu, menjadi kenangan paling manis buat pemain skuad Liga Super Perak, Mohd Fikri Sudin.

Malah menurut anak muda kelahiran Bukit Merah Taiping ini lagi, kejayaan berkenaan telah mendorong dirinya untuk sentiasa memberikan aksi terbaik, setiap kali diturunkan sebagaimana ketika membantu skuad Seladang muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) dan Piala Presiden 2014 lalu.

“Inshaa ALLAH, saya akan sentiasa cuba memberikan aksi terbaik setiap kali terpilih untuk diturunkan. Doakan saya ya?” katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :