“LULUS ujian kecergasan atau berdepan penyingkiran”. Itu kata dua buat penyerang import Ghana, Prince Tagoe yang sehingga kini masih tidak muncul menyertai latihan bersama The Red Warriors bagi menghadapi saingan Piala Malaysia, bermula 13 Ogos ini.
 
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tampak seperti sudah hilang sabar dengan karenah dicetuskan pemain yang pernah beraksi dalam kempen Piala Dunia 2010 itu dan menuntutnya kembali segera ke pangkuan pasukan berkenaan.
 
Malah Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa sendiri tampil dengan nada lebih keras apabila membayangkan kesediaan pihaknya menamatkan kontrak pemain kebangsaan Ghana itu andai berterusan gagal memberi sumbangan bermakna untuk Kelantan.
 
“Kita tidak boleh berkompromi lagi dalam soal kecergasan. Sekarang sudah masuk kempen Piala Malaysia, tidak ada alasan lagi dan kalau kita dapati dia gagal ujian kecergasan, kita terpaksa tamatkan kontraknya.
 
“Ketua Jurulatih (George Boateng) beritahu saya, Tagoe sudah dua kali gagal ujian kecergasan. Kita mengesyorkan Tagoe tidak diberi cuti supaya menggunakan tempoh sebulan untuk mengembalikan tahap kecergasan tetapi dia buat pilihan pulang ke negaranya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis berbuka puasa anjuran Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Parlimen Ketereh (Khadam) di sebuah hotel di Kota Bharu, malam kelmarin.

Hadir sama pengurusan bola sepak Kelantan diketuai Pengurus Pasukannya, Azman Ibrahim, Boateng serta barisan pemainnya.
 
Sinar Harian baru-baru ini melaporkan Tagoe sepatutnya kembali melapor diri menjalani latihan bersama Kelantan pada 15 Julai lalu, namun gagal berbuat demikian sehingga meninggalkan persoalan di kem skuad gergasi pantai timur itu.
 
Tagoe yang menggantikan penyerang Lubnan, Mohamad Ghaddar pernah mencetuskan kemarahan penyokong setia Pahlawan Merah sebelum ini, berikutan urusan sijil perpindahan antarabangsanya (ITC) berdepan masalah dengan kelab lamanya di Turki, Africain Club ketika pintu perpindahan pemain dibuka April lalu.
 
Annuar memberitahu, pihak Kafa berhak menamatkan kontrak Tagoe memandangkan pemain berusia 28 tahun itu telah menandatangani surat perjanjian sebelum pulang ke negara kelahirannya.
 
“Kita benarkan dia pulang dan apabila kembali ke Kelantan, dia wajib menjalani ujian kecergasan. Kalau dia gagal, kontraknya boleh ditamatkan. Sekarang ini, sepatutnya dia telah lapor diri tapi masih tak datang dan Kafa akan bermesyuarat untuk menentukan kedudukannya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :