HASRAT Kelantan memiliki penyerang kelahiran Ghana, Prince Tagoe bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) tidak kesampaian apabila gagal mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dari Persekutuan Bola Sepak Tunisia (FTF).

Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya telah memohon ITC bagi memastikan pendaftaran Tagoe semasa jendela perpindahan kedua berjalan dengan lancar.

“Kami berdepan masalah dengan bekas kelab Tagoe, di mana mereka tidak membayar tiga bulan gaji kepadanya dan sepatutnya kontraknya terbatal serta-merta.

“Disebabkan FTF masih menangguhkan pengeluaran ITC, bila kami mendaftar menerusi Sistem Pengurusan Perpindahan (TMS) kena selari dengan Tunisia, namun Tunisia tidak menjawab.

“Pada hari terakhir, mereka (Tunisia) memberi jawapan bahawa mereka menolak permohonan kami kerana pemain itu masih mempunyai kontrak dengan kelab.

“Apabila perkara ini berlaku, iaitu pemain ada masalah dengan kelab, Fifa ada kuasa untuk mengeluarkan ITC sementara, kerana Fifa pastinya tidak mahu karier pemain terjejas,” katanya.

Kevin berkata, pihaknya menjangkakan akan mendapat ITC sementara sebaik permohonan itu ditolak FTF, tapi sebaliknya mereka difahamkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima penolakan tersebut.

“Mereka (FAM) sepatutnya membiarkan kes itu ditangguhkan, tapi apa yang FAM buat adalah menerima penolakan itu, jadi kes itu sudah dikeluarkan daripada TMS.

“Apabila kes itu dikeluarkan, Fifa memberitahu kami bahawa mereka tidak boleh mengeluarkan ITC kerana kes sudah ditutup," katanya.

Kata Kevin, perkara ini mengejutkan kerana pihaknya tidak menutup kes tersebut dan ejen Tagoe mendakwa pegawai FAM telah menekan butang terima (klik) kes terbabit.

Katanya, tindakan itu telah memberi kesan besar bagi pihaknya.

“Saya tak cakap FAM teruk tapi ia cuma prosedur yang mudah, sepatutnya FAM membiarkan kes itu ditangguhkan dan bukan menerima pembatalan permohonan itu untuk makluman Fifa.

“Sebenarnya bukan itu yang kami mahu, kerana kami mahukan pemain untuk sepanjang tahun ini, saya fikir kami akan terus berusaha mendapatkan ITC,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :