KUANTAN -  Sebuah lagi pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Temerloh malam ini menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan turut meningkat kepada 831 orang setakat pukul 9 malam ini berbanding 564 orang petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Zainal Yusoff berkata, pusat pemindahan baharu yang dibuka pada pukul 7 malam tadi adalah di Dewan Serbaguna Sungai Buloh yang menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

"Tiga lagi pusat pemindahan sementara iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti turut mencatatkan pertambahan bilangan mangsa kepada 548 orang malam ini berbanding hanya 400 orang petang tadi.

"Begitu juga dengan mangsa yang ditempatkan di SK Batu Kapor, Mentakab turut meningkat daripada 158 orang kepada 267 orang, manakala jumlah mereka yang dipindahkan di Surau Kampung Bongsu kekal enam orang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, paras air di kawasan Mentakab masih lagi dalam keadaan meningkat, menyebabkan semua agensi yang terlibat berada dalam keadaan siap sedia untuk memindahkan lebih ramai mangsa jika keadaan itu berlarutan. - Bernama

Artikel Berkaitan