KEHADIRAN dua pemain baharu, Prince Tagoe dan Hussein Alaa Hussein Salman bagi memperkuatkan The Red Warriors kini menjadi persoalan, mampukah mereka memberi impak kepada pasukan berkenaan mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Tagoe dan Hussein dipilih Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menggantikan penyerang kontroversi, Mohamad Ghaddar dan Obinna Nwaneri yang digugurkan akibat masalah kecederaan dan disiplin, baru-baru ini.

Kedua-dua pemain berkenaan hadir dengan reputasi tinggi, Tagoe selaku penyerang Ghana yang pernah beraksi dalam kempen Piala Dunia 2010 sementara Hussein Alaa pula memiliki pengalaman bersama skuad kebangsaan Iraq.

Tagoe, akan bersaing dengan Francis Forkey Doe untuk merebut tempat selaku penggempur utama Kelantan tatkala kedudukan Mohamed Shawky Aly dan Hussein Alaa di benteng tengah dan pertahanan dikatakan sukar digugat.

NEGARA TELUK

Kehadiran Hussein Alaa, pemain yang menimba pengalaman beraksi dalam Liga Thailand dengan mewakili Bangkok United musim lalu mengingatkan kembali kepada Riyadh Abdul Abbas, pemain kelahiran Iraq yang pernah menyarung jersi Kelantan pada 1996.

Bezanya, Kelantan yang dibimbing bekas jurulatih Sabah, Kelly Tham Riyadh ketika itu memilih Riyadh sebagai penyerang import selain membariskan pemain pertahanan dari Russia, Almishev Fail Nizamovic.

Apa yang pasti, selepas 18 tahun berlalu, gergasi pantai timur itu kembali menagih sentuhan pemain dari negara teluk itu bagi memperkuatkan pasukan mereka setelah Nwaneri ditunjukkan jalan keluar pertengahan musim.

PULIH PRESTASI

Tagoe mempunyai tugas cukup berat untuk memulihkan prestasi hambar pasukannya selepas pengguguran mengejut Mohamad Ghaddar selain Forkey Doe yang masih belum menemui sentuhan sebenarnya.

Tumpuan penyokong Kelantan pasti terarah kepada aksi Tagoe di atas padang, mampukah dia menjelmakan aksi luar biasa sepadan dengan gaji yang diterimanya cukup lumayan, selepas Sime Darby FC dikatakan menolak permintaan tinggi daripada pemain kelahiran Accra itu.

Kehebatan kedua-dua pemain ini akan benar-benar diuji apabila Kelantan berdepan pasukan Liga Premier, Felda United FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu, pada Selasa ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :