DI SEBALIK aksi lincahnya di tengah padang, mungkin ramai yang tidak mengetahui dirinya juga seorang peng’arca’ berbakat besar.

Itulah Hafiz Ramdan, salah seorang pemain muda paling menyerlah dalam skuad bola sepak Perak, pada ketika ini. Larian-larian pantas serta rembatan deras ke gawang lawan, dilihat menjadi antara ‘aset’ penting dimiliki anak muda kelahiran Batu Kurau ini hingga mendapat jolokan ‘kancil’ dalam kalangan rakan-rakan serta jurulatih.

Ada kaitan

Namun lulusan jurusan Seni Lukis dan Seni Reka (Arca-Sculpture), Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini, dirinya mahu meneruskan kerjayanya sebagai pemain bola sepak dan melihat sejauh mana kemampuannya dalam arena bola sepak tanah air.

Baginya, bola sepak dan seni adalah dua elemen yang tidak boleh dipisahkan, apatah lagi bola sepak itu sendiri sebenarnya adalah satu sukan yang penuh berseni.

“Bagi saya, seni adalah satu ekspresi atau luahan sesuatu dari dalam diri kita sendiri. Begitu juga dengan bola sepak apabila setiap individu mempunyai ciri permainan tersendiri.

“Oleh itu, sebagai sukan yang penuh berseni, tidak hairanlah jika bola sepak diiktiraf sebagai sukan nombor satu di dunia dan malah sering kali menjadi bahan berita utama yang diminati ramai,” katanya kepada Ultras Sinar.

Rebut peluang

Menceritakan mengenai perancangan masa depannya Hafiz berkata, buat masa ini tekadnya memberikan tumpuan dalam sukan bola sepak.

Katanya, peluang beraksi serta berdepan ramai pemain berpengalaman pada ketika ini juga masih ibarat ‘mimpi’ bagi dirinya.

“Macam tak percaya. Memang satu keputusan yang sukar untuk dipercayai sejak saya mula mewakili skuad Piala Presiden pada 2011 lalu.

“Mungkin sudah rezeki saya dalam sukan bola sepak ini. Lagi pun dapat mencapai impian ibu dan ayah yang mahu menyaksikan saya bermain untuk Perak.

“Inshaa ALLAH, saya akan berusaha keras mencari pengalaman dan seterusnya membantu pasukan muncul sebagai pasukan yang digeruni seperti dahulu,” katanya yang turut digelar Kancil dikalangan rakan sepasukan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :