MENGAMBIL kira saranan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya agihan tiket secara adil diberikan kepada pasukan lawan, Felda United memperuntukkan kira-kira 500 hingga 1,000 keping tiket kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk aksi separuh akhir pertama malam esok di Stadium Selayang.

Pengurus Pasukan Felda United, Datuk Jamaludin Ahmad berkata, jumlah tiket tersebut diputuskan hasil persetujuan mesyuarat.

"Memandangkan kapasiti penonton di Stadium Selayang dianggarkan kira-kira 10,000, jadi 10 peratus adalah kira-kira seribu.

"Kita juga akan memaklumkan supaya agihan sama rata diberikan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) kepada Felda United untuk aksi timbal balik di Stadium Larkin, nanti.

"Surat makluman mengenai perkara ini akan diserahkan kepada PBNJ untuk mengelakkan sebarang permasalahan pada masa akan datang," katanya.

Sebelum ini FAM menyarankan pasukan tuan rumah memperuntukkan kira-kira 10 peratus dari kapasiti stadium kepada lawan sebagai tanda semangat kesukanan.

Mengulas persediaan menjelang aksi malam esok yang pastinya dinantikan peminat bola sepak dan kebarangkalian pertukaran stadium, Jamaluddin menjelaskan semuanya berjalan lancar dan mengharapkan kerjasama semua pihak.

"Setakat ini kita mengambil pendirian beraksi di Selayang kerana ia adalah venue bertuah bagi The Fighters, pemain telah serasi dari segi setiap sudut padang, tidak perlu tukar stadium.

"Faktor keselamatan, agihan tempat duduk dan sebagainya telah diambil kira, ini menjadi keutamaan kita dan melakukan yang terbaik.

"Bagi penyokong pula, semangat kesukanan ditagih demi keselamatan bersama. Elakkan dari melakukan provokasi dan perkara yang tidak sepatutnya, " jelasnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :