PEMAIN tengah Pahang, Mohd Faizol Hussin tekad untuk terus memikat Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan dalam usaha merebut tempat dalam kesebelasan utama Tok Gajah.

Sabtu lalu, Faizol menjaringkan salah satu gol menerusi sepakan percuma ketika Pahang mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 4-1 di Kuantan.

"Gol itu menyuntik moral saya untuk terus mempamerkan aksi lebih baik selepas ini. Paling penting, peluang diberikan jurulatih perlu dibalas dengan baik.

"Apa pun, ini peluang terbaik buat saya, namun saya masih perlu bekerja keras untuk merebut tempat kesebelasan utama kerana saingan pasti sengit daripada rakan-rakan lain,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, ditanya perlawanan berdepan Kelantan, Sabtu ini, Faizol mengakui ia bukan tugas mudah apatah lagi terpaksa beraksi di gelanggang tuan rumah.

“Tapi jika semuanya menjadi dan mengikut strategi yang disusun, saya yakin Pahang boleh melakar keputusan positif dan pastinya ia memerlukan semangat juang dan tak berputus asa hingga wisel penamat,” katanya.

Kemenangan ke atas ATM minggu lalu menyaksikan Pahang melonjak ke tangga keempat liga.

Buat masa ini, Tok Gajah mengumpul sembilan mata selepas enam perlawanan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :