PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan yakin peminat bola sepak seluruh dunia akan memilih Mohd Faiz Subri sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016 pada 9 Januari depan.

Keyakinan Sathianathan berdasarkan sambutan video jaringan ajaib Mohd Faiz yang kini mencecah tontonan 1,960,400 di laman YouTube sehingga jam 4 petang semalam.

Walaupun jumlah tontonan berkenaan tidak membayangkan siapa yang akan menang, namun Sathianathan percaya ia memberi petanda bahawa Mohd Faiz telah mendapat tempat di hati peminat tidak kira di Malaysia mahupun dunia.

“Memang jumlah tontonan di YouTube tidak boleh diambil kira, tapi melihat sambutan itu saya rasa pengundi di sana telah terpukau dengan kehebatan Faiz.

“Ia satu sepakan percuma ajaib paling cantik dan jaringan itu ada kelas tersendiri, setaraf dengan gol pemain-pemain hebat dunia. Ya, tidak mustahil gol itu dipilih sebagai yang terbaik.

“Apa pun, sama-sama kita berdoa agar jumlah tontonan itu akan sama dengan undian yang dibuat dan Faiz dapat merangkul anugerah itu,” katanya.

Nama pemain Pulau Pinang berusia 29 tahun itu terus bermain di bibir peminat bola sepak tempatan selepas dia terpilih dalam tiga calon utama akhir untuk memenangi anugerah itu.

Peminat boleh terus membuat undian di pautan http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/index.html.

Sebagai rekod, Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama Real Madrid di antara tahun 1959 hingga 1966.

Senarai pemenang anugerah puskas

2009- Cristiano Ronaldo (Portugal)
2010 - Hamit Altintop (Turki)
2011 - Ne ymar Jr (Brazil)
2012 - Miroslav Stoch (Slovakia)
2013 - Zlatan Ib rahimovic (Sweden)
2014 - James Rod riguez (Colombia)
2015 - Wendell Lira (Brazil)
2016 - mohd Faiz Subri?