RAUB - Hujan lebat dan berterusan sejak awal pagi kelmarin menyebabkan enam rumah di Ulu Dong, Raub dinaiki air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Zainal Yusoff berkata, kejadian banjir kilat itu melibatkan Kampung Pamah Rawas dan Kampung Pawah Kulat.

Menurutnya, bagaimanapun semua mangsa yang dipindahkan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kira-kira jam 10 pagi semalam berikutan keadaan banjir pulih sepenuhnya.

“Kelmarin seramai 26 mangsa daripada enam keluarga terlibat banjir terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan yang dibuka. Semua mangsa diberi bantuan awal termasuk bekalan makanan oleh pelbagai agensi seperti Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak polis semasa berada di pusat pemindahan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zainal berkata kini pusat pemindahan Balai Raya Kampung Pamah Rawas dan Pamah Kulat ditutup secara rasminya selepas pembersihan dilakukan.

Menurutnya, dalam kejadian banjir kilat itu  tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dan tiada penutupan jalan dilakukan setakat ini.

"Alhamdulillah hari ini kesemua rumah telah surut air setelah keadaan cuaca di kawasan banjir tidak hujan dan bertambah baik sejak pagi ini. Terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan seperti pihak polis dan JKM kerana banyak bantu mangsa banjir semasa mereka di pusat pemindahan,” katanya.

Tambahnya, kini pihaknya masih melakukan  pemantauan  keadaan yang sama di kawasan kerap berlaku banjir di daerah ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :