RHU SEPULUH - Pasukan bomba sukarela perlu ditubuhkan segera di Setiu sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berharap dengan tertubuhnya Pasukan Bomba Sukarela Rhu Sepuluh, kawasan atau zon lain akan turut berbuat demikian.

“Saya harap pasukan bomba sukarela ini ditubuhkan lebih cepat supaya apabila banjir nanti, pasukan ini boleh tolong sekali.

“Pasukan sukarela seperti ini perlu ditubuhkan di setiap zon yang mana seramai 50 orang digalakkan menyertainya,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Festival Pekan Budaya Daerah Setiu, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Azlimin Mohd Noor; Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang serta ketua-ketua jabatan yang terlibat.

Mohd Jidin yang juga Adun Permaisuri turut berharap penglibatan dalam pasukan bomba sukarela tidak hanya tertumpu kepada belia dan beliawanis.

Menurutnya, jabatan kerajaan yang ada di daerah itu juga disarankan untuk terlibat sama.

“Mereka (kakitangan jabatan) sangat penting untuk terlibat sama kerana boleh menambah ilmu keselamatan sebagai pasukan bomba sukarela bagi menghadapi sebarang musibah di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Azlimin berkata, Pasukan Bomba Sukarela Rhu Sepuluh adalah pasukan pertama yang ditubuhkan di Setiu.

Tambahnya, pasukan itu amat penting untuk mengambil tindakan awal sebelum anggota bomba tiba.

“Jarak antara Balai Bomba dan Penyelamat Setiu ke Rhu Sepuluh mengambil masa 20 hingga 25 minit untuk sampai di sini.

“Dengan tertubuhnya Pasukan Bomba Sukarela Rhu Sepuluh, seramai 20 orang ini diharap dapat membantu mengurangkan kemusnahan harta akibat kebakaran di kawasan ini (Rhu Sepuluh) susulan bantuan pasukan sukarela ini," katanya.

Artikel Berkaitan