KUANTAN - Jumlah mangsa  banjir yang ditempatkan di  tiga pusat pemindahan sementara di Temerloh meningkat kepada 971 orang setakat  6 petang ini berbanding  953 orang tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Zainal Yusoff berkata pertambahan bilangan mangsa banjir itu disebabkan mereka lewat mendaftar dan tidak mencerminkan keadaan sebenar banjir yang kini beransur surut berikutan cuaca cerah sepanjang hari.

"Air di kawasan Mentakab menunjukkan trend menurun, namun didapati bilangan mangsa meningkat kerana mangsa mengambil sikap mendaftar  lewat walaupun banjir telah beberapa hari berlaku," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, Sekolah Kebangsaan Desa Bakti masih menempatkan jumlah mangsa banjir paling banyak iaitu 591 orang daripada 173 keluarga manakala dua lagi pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan Batu Kapor  menempatkan 369 orang  dan Dewan Serbaguna Sungai Buloh sebanyak 11 orang. - Bernama

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :