JOHOR Darul Ta'zim (JDT) yang bakal beraksi di pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kini dalam fasa untuk memperkukuhkan lagi pasukan itu, lapor AMZAR AMIR RAMADAN.

Difahamkan, juara Liga Super itu kini cuba merekrut masuk pemain JDT II, Aznie Taib ke dalam skuad utama Harimau Selatan.

Ketua jurulatih Harimau Selatan, Bojan Hodak berkata, Aznie hadir ketika sesi latihan dan perlawanan persahabatan untuk pihak pengurusan melihat corak permainan yang ditonjolkan olehnya.

Tambahnya, terdapat beberapa lagi nama pemain dalam senarai yang akan diberi peluang beraksi bersama JDT dalam usaha mencari bintang bagi mengharungi saingan musim depan.

“Pasukan yang akan beraksi di pelbagai liga seharusnya memiliki pemain yang secukupnya kerana sudah tentu para pemain bakal hadapi jadual teramat padat.

“Mungkin Aznie salah seorang pemain yang dicari namun tiada keputusan akan dibuat pada masa terdekat kerana kami akan melihat para pemain tempatan yang lain,” katanya.

Hodak turu memberitahu, pemain yang beraksi di bahagian serangan itu mungkin bakal diturunkan dalam beberapa siri persahabatan sebelum menjelang musim baharu.

Bagaimanapun, pemuda berusia 24 tahun itu tidak akan menghadapi masalah untuk beraksi bersama JDT kerana prestasi dan disiplin sangat membanggakan ditunjukkan pada saingan Liga Premier 2013.

Aznie yang tampil dalam perlawanan dengan corak menyerang berbahaya sudah semestinya menjadi pilihan terbaik untuk diganding bersama para pemain senior Harimau Selatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :