NAMA pemain tengah terbaru Tok Gajah, Mohd Nor Azam Azih menjadi bualan peminat Pahang selepas terlepas peluang menggunakan khidmat bekas pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat.

Bekas pemain skuad Harimau Muda B itu yang juga anak jati Pahang dilihat seakan sebagai pengganti Gary dan disambut positif oleh peminat Tok Gajah yang turut gembira dan lebih menyokong kemasukan anak jati negeri ke skuad kesayangan mereka.

Bakal bersaing bersama rakan sepasukan lebih senior, pemain berusia 21 tahun itu mahu manfaatkan peluang sebaik mungkin apabila ditawarkan menyarung jersi pasukan tersebut untuk saingan Liga Malaysia 2015.

ENGGAN LEPAS

Azam pastinya tidak mahu melepaskan peluang bersama skuad juara Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih 2014  untuk mempamerkan kemampuan sebenar pada peminat bola sepak tempatan.

Mula menjalani latihan bersama skuad kendalian Zainal Abidin Hassan sejak 2 Januari lalu dan bagi pemain tengah tersebut, dia sedar saingan sengit daripada rakan sepasukan bagi posisi tersebut.

Menurutnya, dia tidak gentar untuk bersaing sebaliknya berazam untuk memikat perhatian pengendali pasukan (Zainal Abidin) untuk diturunkan beraksi dalam setiap perlawanan bersama Tok Gajah untuk musim ini.

“Saya sedar saingan sengit untuk posisi ini tetapi saya tidak mahu ia jadi alasan untuk mengalah dan setakat ini tiada rasa janggal kerana kebanyakan pemain pun sudah dikenali sebelum ini.

"Selain pemain senior lain, saya juga perlu bersaing dengan rakan baik, Rizua Shafiqi Kamaruzaman yang juga bekas rakan sepasukan dalam skuad Piala Presiden Pahang sebelum ini,” ujar pemain yang berasal dari Jengka 21 itu.

CORAK LATIHAN

Sebelum bersama skuad Harimau Muda di bawah kendalian jurulatih Razis Ismail untuk musim 2014, Azam pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Pahang yang mendapat sentuhan bekas pemain kebangsaan, Azaruddin Aziz selama semusim (2013).

Ditanya perbezaan corak latihan bersama Tok Gajah, anak ke-5 daripada enam adik-beradi itu memberitahu, setakat ini hanya latihan kecergasan sedikit berbeza berbanding bersama bekas pasukan terdahulu.

“Saya mahu gunakan pengalaman sebelum dan menggunakan tempoh latihan yang ada ini untuk memantapkan lagi teknik dan memperbaiki kelemahan yang ada sebelum kancah liga membuka tirainya,” katanya lagi yang kini bersama skuad tersebut untuk aksi pra-musim
di Singapura.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :