GEORGETOWN - 10 kawasan dilanda banjir kilat selepas hujan lebat di beberapa kawasan di negeri ini tengahari tadi.

Banjir kilat yang dikesan berlaku dalam tempoh sejam bermula 12 tengahari hingga 1 petang itu melibatkan Kampung Masjid; Kampung Rawa; Jalan P Ramlee; Jalan Maklum; Minden Height; Kampung Makam; Kampung Dodol; Sungai Pinang, Jalan Bagan Jermal dan Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim.

Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata, banjir kilat berkenaan disebabkan jumlah hujan kumulatif yang diklasifikasikan sebagai sangat lebat.

Menurutnya, walaubagaimanapun, tiada permindahan mangsa dilaporkan berikutan kedalaman banjir mencatatkan lingkungan 0.3 hingga 0.5 meter.

"Status hujan kumulatif di empat stesen menunjukkan jumlah hujan kumulatif yang tinggi iaitu Sungai Pinang (70 mm); Batu Lanchang (72mm), Air Itam (61mm) dan Kolam Bersih (51.5mm). Aras air laut ketika berlaku banjir juga menunjukkan trend menaik iaitu 1.7 meter.

"Hujan amat lebat di upstream dan downstream melebihi 60mm sejam selain diburukkan lagi dengan paras air laut pasang. Selain itu, paras kedudukan kampung yang rendah dan masalah peringkat sistem saliran longkang yang kurang sempurna di kampung-kampung memudahkan air bertakung dengan cepat apabila hujan lebat," katanya ketika dihubungi.

Kon Yeow berkata, paras air sungai yang naik dengan pantas pada ketinggian 2.56m (tahap amaran) juga menyebabkan aliran air Sungai Jelutong naik.

"Ia menyebabkan aliran air hujan dari sistem perparitan jalan terganggu lalu menyebabkan banjir kilat. Kira-kira 50 buah rumah terlibat dalam kejadian pada hari ini (semalam). Antara cadangan penyelesaian jangka pendek bagi masalah ini adalah menjalankan kerja pembersihan di setiap saluran dan perparitan bagi memastikan tiada sampah yang menghalang laluan air.

"Selain itu, menaiktaraf kapasiti pam Kampung Masjid supaya air dapat dipam keluar dengan lebih cepat, membina rumah pam di Taman Free School dengan kapasiti dua unit pam untuk banjir di Jalan P Ramlee. Sistem perparitan dalam kampung juga perlu dinaiktaraf dan sentiasa bersih dari sampah sarap agar tidak menghalang laluan air bagi melancarkan aliran air keluar ke sungai," katanya.

Menurutnya, cadangan jangka panjang pula melibatkan Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang merangkumi Sungai Pinang dan enam cabang sungai iaitu Jelutong; Air itam; Kecil; Sungai Dondang, Sungai Air Terjun dan Sungai Mati.

Artikel Berkaitan