KUALA LUMPUR - Pusat Pembangunan Korporat (CDC), yang ditubuhkan untuk menyokong kakitangan Malaysian Airline System Bhd (MAS) yang ditamatkan perkhidmatan dengan peralihan kerjaya di luar syarikat itu, menganjurkan Pameran Kerjaya dan Hari Majikan buat julung kalinya hari ini.
   
CDC menghimpunkan syarikat sektor swasta terkemuka yang berminat mengambil kakitangan MAS berkenaan yang mahu mencari pekerjaan baharu atau perubahan kerjaya, serta mengendali 498 temu duga di kemudahan utama CDC di Akademi Malaysia Airlines, Kelana Jaya.
   
Syarikat itu termasuk AEGIS Malaysia Sdn Bhd, Dorsett Regency, Prasarana Malaysia, Hong Leong Bank dan Hotel Equatorial.
   
CDC dibuka pada Jun 2015 dan mendaftar lebih 2,400 kakitangan MAS yang ditamatkan perkhidmatan setakat ini, menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
   
Jumlah individu yang mendaftar terus meningkat di CDC Kelana Jaya dan di empat kemudahan lain yang terletak di Shah Alam, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.
   
Ketua Pegawai Eksekutif CDC, Shahryn Azmi berkata ini merupakan bukti pengiktirafan oleh industri bahawa kakitangan MAS mempunyai kemahiran dan bakat untuk menyumbang kepada pertumbuhan semasa dan masa depan.
   
"Kepada individu yang mahu meningkatkan kemahiran, CDC menawarkan hampir 450 program, kursus dan kelas yang relevan kepada pasaran meliputi pelbagai industri," katanya.
   
Shahryn berkata, CDC menerima sejumlah pertanyaan dari syarikat tempatan dan antarabangsa yang ingin mengambil kakitangan MAS, menambah kira-kira 30 syarikat terlibat dengan CDC bagi peluang kerjaya dan pekerjaan, dan jumlah syarikat semakin meningkat. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :