KUALA LUMPUR - Walaupun prestasi murid di Malaysia meningkat sejak beberapa dekad lalu, namun terdapat risiko jurang pencapaian sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain semakin lebar.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, risiko itu boleh dilihat melalui pentaksiran antarabangsa terbaharu dikeluarkan oleh Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

Berdasarkan keputusan TIMSS 2011, 35 peratus dan 38 peratus murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains, iaitu kenaikan dua hingga empat kali ganda berbanding tujuh dan 13 peratus pada 1999.

Keputusan tidak memberansangkan juga dicatatkan oleh pelajar Malaysia dalam keputusan pada kitaran pentaksiran untuk 2009 PISA (PISA 2009+), penyertaan kali pertama Malaysia, yang mana kedudukan negara terletak di kelompok ketiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta, iaitu di bawah pencapaian purata antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Hampir 60 peratus murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA 2009 gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44 peratus dalam Bacaan dan 43 peratus dalam Sains," menurut pelan itu.

Pelan itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.   

Perbandingan skor dalam skala PISA ini menunjukkan murid berumur 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai, China mempunyai prestasi tiga atau lebih tahun persekolahan berbanding pelajar Malaysia pada umur yang sama.

Sepanjang dua dekad lalu kedua-dua sistem pentaksiran pelajar antarabangsa ini, PISA dan TIMSS, telah muncul sebagai kaedah perbandingan langsung mengenai kualiti keberhasilan pendidikan merentas pelbagai sistem.

"Kaedah ini mentaksir pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan," menurut pelan itu.

Walaupun kedua-dua sistem pentaksiran itu, TIMSS dan PISA, menunjukkan keputusan pencapaian pelajar Malaysia yang membimbangkan, namun terdapat banyak bukti kecemerlangan murid dan sekolah seluruh negara setanding piawaian antarabangsa.  

Ini termasuk pencapaian murid dan sekolah Malaysia di peringkat antarabangsa contohnya memperoleh pingat emas dalam Pertandingan Pencipta Muda Antarabangsa Kelapan 2012 di Thailand dan Ekspo Reka Cipta dan Produk Baharu di Amerika Syarikat, tahun lepas.

Bagaimanapun, menurut pelan itu, objektif yang sama penting dalam sistem pendidikan adalah memastikan kesaksamaan dalam berhasilan murid, antaranya dari segi jurang antara sekolah bandar dan luar bandar, sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan serta jantina.

Jurang antara luar bandar dan bandar menurun kepada lima mata peratus dan dua mata peratus sejak enam tahun kebelakangan ini sementara jurang antara sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan semakin mengecil.

Sebaliknya, jurang pencapaian antara gender adalah signifikan dan terus melebar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dengan pencapaian murid perempuan sentiasa mengatasi murid lelaki di semua peringkat, menurut pelan itu. - Bernama