LIGA Bola Sepak Wanita (LBRW) yang akan bermula 3 Februari ini, bakal menyediakan medan pendedahan dan pengalaman perlawanan sebenar yang lebih meluas kepada skuad bawah 14 dan 16 tahun negara di Sekolah Sukan Malaysia Sabah.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Norhuda Ahmad berkata, liga selama sebulan dan melibatkan 15 pasukan itu turut menjadi medan awal memantapkan mereka dalam mencapai sasaran layak ke Kejohanan Wanita AFC 2022.

“Sebelum ini skuad ini hanya akan ke China untuk menimba pendedahan perlawanan sebenar dalam kejohanan, tetapi itu pun hanya sekali setahun. Jika tanpa LBRW, pemain akan mudah bosan dan kita kini dapat melihat tahap kemampuan sebenar mereka.

“LBRW satu platform bagus untuk mereka melawan pasukan yang lebih dewasa, macam mana mereka terapkan strategi dan taktik jurulatih, menguji ketahanan dan menimba pendedahan. Bila ada perlawanan mengisi masa, mereka pun akan seronok,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM menambah berkata, LBRW juga sebagai medan mencungkil bakat baharu bagi menggantikan beberapa pemain yang sudah lama dalam skuad negara kerana Malaysia katanya ada sasaran layak ke Kejohanan AFC 2022.

“Apabila LBR (sudah memasuki musim kedua) tampak berjaya, mengapa tidak ditetapkan pada LBRW yang turut akan membantu negeri-negeri memilih pemain mereka ke Kejohanan Wanita Kebangsaan Piala Tun Sharifah Rodziah setiap tahun.

“Kelantan yang sering tiada pasukan ke Piala Tun Sharifah Rodziah kini ada sampai dua pasukan main LBRW (SS Glow Glowing FC dan USM Kota Bharu. Ini bagus bagi bola sepak wanita negara.

“Liga ini juga membuktikan mereka yang bertudung, menutup aurat dan feminin masih boleh bermain bola sepak atau membuka mata masyarakat selama ini beranggapan bahawa sukan ini hanya sesuai bagi tomboy,” katanya.

LBRW sehingga 25 Februari ini melibatkan 15 pasukan dengan RM20,000 ditawarkan sebagai hadiah buat juara edisi sulung ini manakala naib juara bakal beroleh RM10,000 sementara pemenang tempat ketiga bersama  mendapat RM5,000.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi pasukan terakhir mengesahkan penyertaan LBRW dalam liga sepusingan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan gelanggang Kumpulan A di Bintulu, B (Padang Kem Renjer, Ipoh), C (Stadium Jeonsa, Kuala Lumpur) dan D (UiTM Arau).

Kumpulan A mengandungi Bintulu, Sekolah Sukan Sabah, Sibu dan Samarahan, Kumpulan B (Batang Padang, Batu Gajah, Felda United dan Al Astana Kuantan), Kumpulan C (Jeonsa, Tanjung Malim dan Sri Sador FC dan Kumpulan D (Kota Setar, Kerian, USM Kota Bharu FC serta UiTM Perlis).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERKARA ini pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW ketika Baginda SAW mengimamkan solat. Diriwayatkan oleh Rifa'ah bin Rafi' Bin 'Afra'.
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
  • BERMATLAMATKAN pengurusan sebuah kelab bola sepak telus, profesional dan mesra penyokong, tujuh peminat bola sepak telag bersatu hati menubuhkan kelab Bola Sepak Shah Alam Antlers.
  • LALUAN sukar itu gambaran bakal ditempuhi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mac nanti.