TONGGAK dan veteran Kedah, Baddrol Bakhtiar melaungkan keazaman tinggi untuk membantu pasukannya menjulang trofi Piala Malaysia.

Menurutnya, kepercayaan diberikan Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe kepadanya bersama rakan sepasukan menyuntik motivasi untuk bekerja lebih gigih bagi memastikan hajat semua pemain dan penyokong Lang Merah menjuarai Piala Malaysia musim ini menjadi kenyataan.

“Harap final kali ini kita dapat memberi aksi lebih baik berbanding tahun lalu, seterusnya menjulang piala berprestij ini untuk menggembirakan ribuan penyokong Kedah," katanya.

Baddrol bagaimanapun yakin keupayaan dan semangat pada rakan sepasukannya mampu mencipta kemenangan walaupun menyedari lawan malam esok juga mempunyai rangkaian serangan yang  hebat.

“Alhamdulillah, semua pemain berada di tahap kecergasan yang baik dan sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan akhir ini.

“Apa yang saya harapkan, dalam aksi final nanti kami dapat bermain dengan lebih bersemangat sebagai satu pasukan dan memberikan keputusan yang positif dalam perlawanan itu,” katanya lagi.

SUSUN STRATEGI

BAGI Cheng Hoe pula, beliau mempunyai ramuan tersendiri untuk menjinakkan Gergasi Merah di Stadium Shah Alam.

Menurutnya lagi, Kedah tidak boleh membiarkan Selangor bermaharajalela, sebaliknya perlu merantai setiap gerak-geri pemain mereka di samping memburu gol awal bagi membunuh moral dan semagat melawan anak buah K Gunalan.

Pada masa sama, Cheng Hoe berjanji Lang Merah akan tampil dengan persembahan berbeza dalam usaha merampas Piala Malaysia daripada Selangor.

"Kita memberi tumpuan bagaimana untuk menyaingi rentak permainan lawan dan saya cukup yakin dengan barisan pemain Kedah kali ini.

“Apa yang saya lihat juga keyakinan pasukan lebih meningkat dan tiada tekanan di wajah mereka,” katanya.

TANGKAS, BIJAK

DALAM pada itu, Cheng Hoe juga mahu pemainnya lebih tangkas dan bijak mengawal pergerakan pemain skuad The Red Giants bagi mengelak memberi gol mudah kepada pasukan lawan.

Katanya, semua pemain Lang Merah perlu bersedia dari segala aspek untuk memastikan kelibat pemain lawan dimatikan.

“Apa yang penting semua pemain tidak perlu takut berdepan Selangor dan perlu fokus sepanjang 90 minit permainan serta mengikut strategi yang sudah dirancang.

“Lagipun, Kedah mempunyai sejarah menang ke atas Selangor dan kita perlu ulanginya musim ini kerana ini peluang terbaik buat pasukan,” katanya.

Untuk rekod, Kedah terlepas peluang menjulang Piala Malaysia musim lepas apabila tewas 0-2 kepada Selangor pada perlawanan akhir.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.