KETUA Jabatan Kejurulatihan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), B Sathianathan menyifatkan khidmat pemain berusia atau nama glamournya 'kuda tua' masih relevan.

Menurutnya, pemain-pemain senior seperti Shukor Adan (Felda United), Amri Yahyah (Melaka United) dan Safee Sali (PKNS FC) yang telah melangkaui usia 30-an masih praktikal untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017.

Kata bekas Jurulatih Kelantan dan ATM itu, pemain-pemain senior yang ada dalam sesebuah pasukan dilihat mampu menjadi mentor kepada pemain muda terutamanya dalam memberikan kata-kata nasihat, selain berkongsi pengalaman selepas bertahun-tahun beraksi dalam liga domestik negara.

"Pemain-pemain yang sudah berusia ini memang penting untuk terus berada di dalam liga kerana pengalaman yang mereka miliki.

"Walaupun mereka boleh dianggap tua untuk bola sepak, tetapi saya percaya ada sesetengah daripada mereka jauh lebih baik daripada pemain-pemain muda.

"Sebagai contoh Shukor di Felda musim lalu, dia merupakan antara watak penting untuk membantu kejayaan pasukannya.

"Pemain-pemain lain seperti Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad memang perlu untuk sesebuah pasukan kerana ia bukan bergantung kepada skil mereka semata-mata, tetapi pemain yang berusia ini juga mempunyai disiplin yang tinggi.

"Kalau mereka ni dah umur 34, 35 tahun tapi masih lagi bermain, itu jelas menunjukkan yang jiwa mereka memang untuk bola sepak," ujarnya.

MENTOR

SATHIANATHAN turut menganggap pemain-pemain berusia ini sangat penting untuk membantu pemain-pemain muda di dalam pasukan.

Baginya, selain dijadikan role model, pemain-pemain ini banyak membantu jurulatih di dalam dan luar padang.

"Macam dulu masa saya masih menjadi jurulatih, Hairuddin Omar menjadi antara tonggak utama saya kerana dialah yang akan mendukung pemain-pemain muda untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

"Seperti Shukor masa bersama saya di ATM dahulu, dia bersama Rizal dan Hairuddin yang memainkan peranan dan membantu saya buat kerja di dalam dan di luar padang.

"Sebabnya, mereka tahu pergerakan pemain-pemain muda ini. Ke mana mereka pergi, disko ke...dia tahu. Sebab mereka pemain dengan pemain.

"Jurulatih tak dapat nak pantau semua pemain, malam-malam pergi rumah dia semua. Jadi, mereka-mereka inilah yang akan buat kerja untuk jurulatih," katanya.

Jelasnya, disiplin dan pengalaman yang ada pada pemain berpengalaman ini jugalah yang banyak membantu untuk menaikkan lagi pemain-pemain muda baharu mengukir nama di persada bola sepak Malaysia.

"Kalau tanya Rueben ke, Mat Yo ke masa dulu, mesti mereka akan cakap pemain-pemain berusia inilah yang banyak membantu untuk menaikkan nama mereka.

"Jadi bagi saya walaupun pemain tua sekali pun, tetapi kalau dia masih fit untuk bermain, dia memang berbaloi untuk sesebuah pasukan," tambahnya lagi.

BUKAN TUA, TAPI BERPENGALAMAN

TAMBAH Sathianathan lagi, gelaran kuda tua adalah istilah tidak sesuai digunakan untuk menggambarkan jasa pemain-pemain ini.

Baginya, gelaran yang paling sesuai ialah kuda berpengalaman.

"Dari jasa yang telah mereka curahkan, gelaran kuda tua itu bagi saya kedengaran agak kasar.

"Cuba kita gunakan istilah yang lebih lembut seperti kuda berpengalaman.

"Barulah menggambarkan jasa dan pengorbanan mereka untuk pasukan selama ini," katanya lagi.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEDAH mengakhiri kempen pra-musim 2017 dengan lima kemenangan dan dua seri di dalam usaha untuk membentuk persefahaman dalam kalangan pemain tempatan dan juga import baharu yang dibawa masuk.
  • IBARAT sirih pulang ke gagang. Mungkin itulah bidalan paling tepat bagi menggambarkan kepulangan pemain kebangsaan, Mohd Hafiz Kamal untuk beraksi bersama Perak bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M), 2017.
  • PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan yakin peminat bola sepak seluruh dunia akan memilih Mohd Faiz Subri sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016 pada 9 Januari depan.
  • KALENDAR Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) tahun ini akan melabuhkan tirainya dengan penganjuran kejohanan antarabangsa Piala SuperMokh bermula esok hingga 18 Disember ini dengan penyertaan akademi-akademi ternama dunia seperti Sporting CP, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester City.