KRISIS bola sepak Selangor memasuki episod baharu apabila Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak menyokong penyertaan PKNS FC dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017 nanti.

Mengikut peraturan pertandingan 4.1.3(I) hanya pasukan kelab yang dicalonkan dan disokong persatuan bola sepak negara dan mematuhi  peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) layak menyertai Liga-M.

FAS sudah memaklumkan tindakannya untuk tidak memberi sokongan kepada PKNS FC secara rasmi kepada FAM dan badan pentadbir Liga-M, Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Situasi itu nyata mengejutkan pengurusan PKNS FC kerana mereka sudah melakukan persiapan menghadapi musim 2017 dan jika kelab itu tidak dapat beraksi, ia akan turut memberi kesan kepada pemain dan pegawai skuad Piala Presiden dan skuad B-19 mereka.

TUNDUK

FAS membuktikan betapa statut persatuan bola sepak negeri lebih berkuasa selepas PKNS FC akhirnya tunduk apabila menghantar surat permohonan kelulusan untuk menyertai Liga-M kepada sekretariat badan induk bola sepak negeri itu, baru-baru ini.

PKNS FC sebelum ini mengambil ‘jalan belakang’ apabila menghantar permohonan penyertaan untuk menyertai Liga Super musim hadapan secara terus kepada FMLLP tanpa melalui FAS yang menjadi badan induk kepada pasukan terbabit.

Setiausaha Agungnya, Rosman Mohd Ibrahim dalam satu kenyataannya mengesahkan pihaknya sudah menerima surat permohonan kelulusan daripada pihak PKNS FC dengan ahli gabungannya itu juga memohon maaf selepas mengakui tanpa sedar melanggar statut persatuan bola sepak negeri itu.

“Jika FMLLP menerima PKNS FC secara terus, maka Artikel 83 dan 84 yang memperuntukkan ahli gabungan FAS mesti mendapat kelulusan dan persetujuan FAS perlu dikeluarkan daripada statut FAS sekali gus menyaksikan PKNS FC tidak perlu lagi menjadi ahli gabungan.

“Jadi kami mengharapkan FMLLP sentiasa menghormati statut persatuan bola sepak negeri dan tidak membuat ketentuan sendiri serta memberi nasihat yang betul dan tepat kepada pasukan yang menyertai Liga Malaysia," kata Rosman.

SALAH?

TINDAKAN FAS menghalang penyertaan PKNS FC tanpa apa-apa sebab kesukanan boleh dianggap menghindar pembangunan sukan bola sepak.

Menurut Seksyen 20(1)(e) Akta Pembangunan Sukan 1997, tindakan menghindar pembangunan sukan boleh menyebabkan FAS digantung oleh Pesuruhjaya Sukan: “20. (1) Pesuruhjaya boleh membatalkan atau menggantung pendaftaran sesuatu badan sukan jika Pesuruhjaya berpuas hati bahawa badan sukan itu- (e) menghindar pembangunan sukan tertentu itu dan demi kepentingan awam pendaftarannya patut dibatalkan atau digantung”.

TINDAKAN PERUNDANGAN

SEKIRANYA PKNS FC merasakan tindakan FAS merupakan satu penganiayaan, maka mereka boleh membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland.

Satu kes yang hampir sama pernah dibawa oleh pasukan Pro Duta FC dari Indonesia, menentang Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI).

Pro Duta FC telah dihalang daripada menyertai Indonesia Super League (ISL) musim 2014 oleh PSSI.

Walaupun kelab berkenaan akhirnya tewas kes tersebut kerana tidak memenuhi kriteria infrastruktur (stadium), namun perbicaraan kes ini bermakna bahawa isu penyertaan ke liga berada di bawah bidang kuasa CAS.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEDAH mengakhiri kempen pra-musim 2017 dengan lima kemenangan dan dua seri di dalam usaha untuk membentuk persefahaman dalam kalangan pemain tempatan dan juga import baharu yang dibawa masuk.
  • IBARAT sirih pulang ke gagang. Mungkin itulah bidalan paling tepat bagi menggambarkan kepulangan pemain kebangsaan, Mohd Hafiz Kamal untuk beraksi bersama Perak bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M), 2017.
  • PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan yakin peminat bola sepak seluruh dunia akan memilih Mohd Faiz Subri sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016 pada 9 Januari depan.
  • KALENDAR Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) tahun ini akan melabuhkan tirainya dengan penganjuran kejohanan antarabangsa Piala SuperMokh bermula esok hingga 18 Disember ini dengan penyertaan akademi-akademi ternama dunia seperti Sporting CP, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester City.
  • PASUKAN Axis Puchong Frueza muncul juara Piala Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas menewaskan TOT United dengan jaringan penalti 3-2 di Putrajaya, baru-baru ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.